'Syukur masih ada yang prihatin'

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan eletrik dan keperluan harian kepada Mohd Ridzuan dan keluarganya.
Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan eletrik dan keperluan harian kepada Mohd Ridzuan dan keluarganya.
A
A
A

PENDANG - "Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini paling bermakna buat saya dan keluarga kerana rumah yang dihuni sekian lama dalam proses baik pulih," demikian kata Mohd Ridzuan Che Mat, 32, yang tinggal di sebuah rumah usang milik mertuanya di Kampung Panjang Jalan Jenun.

Mohd Ridzuan berkata, dia bersama isteri Siti Khodijah Shaari, 30, tinggal di rumah milik ibu mertuanya sejak beberapa tahun yang lalu.

Mohd Ridzuan
Mohd Ridzuan

Katanya, rumah yang daif itu rosak teruk pada bahagian bumbung dan juga dinding menyebabkan air hujan sentiasa memenuhi ruang dalam rumah.

"Saya hanya bekerja dengan ambil upah baiki motosikal, kadangkala ada yang bawa motosikal ke rumah tapi selalunya saya akan keluar baiki motosikal di rumah pemiliknya," katanya.

Menurut Mohd Ridzuan, dia tidak dapat meninggalkan isterinya dengan bekerja di lokasi yang jauh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Anak-anak Mohd Ridzuan menguruskan diri sendiri memandangkan ibu mereka ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah.
Anak-anak Mohd Ridzuan menguruskan diri sendiri memandangkan ibu mereka ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah.

"Isteri saya pernah mengalami tumpah darah tiga tahun lalu, namun akibat kesempitan hidup saya tak mampu dapatkan rawatan di hospital.

Artikel Berkaitan:

"Isteri pun bimbang nak tinggalkan anak di rumah kalau dia dimasukkan ke wad," katanya.

Menurut Mohd Ridzuan, ketika ini juga isterinya sedang dirawat di hospital sejak dua hari lalu dan doktor mengesahkan dia mempunyai ketumbuhan luar rahim.

Bercerita lanjut, Mohd Ridzuan berkata, isterinya hanya mampu berdiri dan duduk sekejap sahaja, manakala selebihnya dia akan berbaring.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor melayani telatah anak-anak Mohd Ridzuan.
Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor melayani telatah anak-anak Mohd Ridzuan.

"Anak sulung kami, Nur Syasya Balqis, 9, banyak bantu dengan memasak untuk adik-adiknya," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, Nur Syasya Balqis diajar memasak sejak tahun lalu berikutan keadaan isterinya yang lemah akibat tekanan darah rendah.

Disebabkan itu, katanya, dia perlu mengajar Nur Syasya Balqis atau lebih mesra dipanggil kakak untuk memasak dan menguruskan rumah serta adiknya Nur Syamimi Amani, 5, dan Nuraisha Raina, 3.

“Anak saya pun terpaksa ponteng sekolah nak jaga ibu dan adiknya, walaupun dia sangat minat belajar tapi keadaan tak mengizinkan.

“Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pun dia ponteng, tambahan pula saya tak mampu nak bayar yuran berikutan pendapatan hanya kira-kira RM400 sebulan," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana ada pihak yang sanggup membantu dia sekeluarga membaik pulih rumah dengan nilai RM15,000.

Rumah usang milik mertua Mohd Ridzuan kini dalam proses baik pulih.
Rumah usang milik mertua Mohd Ridzuan kini dalam proses baik pulih.



Keadaan di dalam rumah Mohd Ridzuan yang serba daif.
Keadaan di dalam rumah Mohd Ridzuan yang serba daif.

"Alhamdulilah pada tahun ini kami akan menyambut hari raya di rumah yang jauh lebih selesa.

"Dengan suasana rumah baru nanti diharapkan isteri akan cepat sihat seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, kesusahan keluarga Mohd Ridzuan turut mendapat perhatian daripada Pasaraya Econsave.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, ia melibatkan Dana Econsave Prihatin yang membabitkan sumbangan barangan bernilai RM1,000.

Keadaan dapur yang serba kekurangan.
Keadaan dapur yang serba kekurangan.

"Sebelum kita datang bawa barangan, kita juga dah buat soal selidik keperluan yang keluarga ini perlukan," katanya.

"Mohd Ridzuan lebih memerlukan sumbangan berupa makanan, dan juga perkakas elektrik seperti kipas, periuk nasi, dan banyak lagi.

"Kita juga amat berharap dengan bantuan ini dapat meringankan beban Mohd Ridzuan terutama di bulan Ramadan ini dan sambutan hari raya tidak lama lagi," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu keluarga ini, mereka bolehlah menyalurkan ke akaun Bank Rakyat (221331081641) atas nama Mohd Ridzuan.