Polis tahan pemuda di Bazar Buluh Kubu

Abdul Rahim Daud
Abdul Rahim Daud
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seorang pemuda berusia 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan di Jalan hadapan Bazar Buluh Kubu jam 10.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lelaki berkenaan dikehendaki membantu polis bagi merungkai kes khianat terhadap cermin kereta seorang wanita.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, wanita yang berusia 40 tahun itu mendakwa pemuda yang juga seorang peniaga, mengugut mahu mencederakannya.

“Pihak polis sedang mengesan beberapa lagi orang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

“Kami menasihati peniaga supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Abdul Rahim turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan memperlahankan kenderaan sekiranya melalui kawasan laluan pejalan kaki.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK), 506KK dan 427KK.

Berdasarkan laporan polis, wanita berkenaan memandu kereta Toyota Camry bersama adik dan dua anaknya, mahu keluar daripada tempat letak kereta aras bawah sebuah pasarraya dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu mengesyaki orang ramai memarahinya kerana dia menggunakan laluan yang sempit namun dia mengaku tidak sedar kemungkinan menyebabkan pergeseran pada pejalan kaki atau gerai jualan di situ.

Kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM5,000 apabila kereta yang dipandu mengalami kerosakan selain cermin belakang pecah.