Harap Nurul Izzah tarik balik keputusan letak jawatan

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A
PARIT BUNTAR - Exco Kerajaan Negeri Perak dari PKR memohon supaya Nurul Izzah Anwar menarik balik keputusannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak yang juga bekas Setiausaha PKR negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, Nurul Izzah perlu mempertimbangkan keputusannya itu kerana beliau sudah diberi mandat oleh anggota PKR untuk menjawat jawatan itu.

Menurutnya, secara peribadi pihaknya berharap Nurul Izzah mempertimbangkan keputusan itu kerana beliau merupakan pemimpin popular dan semakin mendapat tempat dalam kalangan ahli dan rakyat Malaysia.

"Saya memohon Nurul Izzah membatalkan niatnya untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

"Pada pemilihan PKR baru-baru ini, Nurul Izzah mendapat undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden PKR.

Abdul Yunus (dua kanan) menyantuni salah seorang penerima bantuan kelengkapan persekolahan Back To School Dun Kuala Kurau mencuba pakaian sekolah di sini, hari ini.
Abdul Yunus (dua kanan) menyantuni salah seorang penerima bantuan kelengkapan persekolahan Back To School Dun Kuala Kurau mencuba pakaian sekolah di sini, hari ini.



"Perkara itu membuktikan beliau cukup popular dan selaku tonggak pemimpin muda, parti dan seluruh pendukung PH memerlukan khidmat dan kehadiran beliau," katanya kepada media pada program penyerahan kelengkapan sekolah 'Back To School' Dun Kuala Kurau di Dewan JKKK Tanjung Piandang, di sini, hari ini.

Abdul Yunus berkata, PKR masih memerlukan Nurul Izzah kerana beliau dilihat sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan banyak berkorban dengan parti.

"Ketiadaan Nurul Izzah adalah satu kehilangan besar untuk parti kerana kita tidak banyak pemimpin wanita secekalnya dalam agenda memartabatkan bangsa negara.

Artikel Berkaitan:


"Oleh itu, kita harap Nurul Izzah dapat mempertimbangkan permohonan kami ini, kerana masih memerlukan khidmatnya untuk terus memimpin PKR," katanya.

Sinar Harian melaporkan Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang semalam.

Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.