Pemuda UMNO desak Mukhriz minta maaf kepada Sultan Johor

Rakaman video yang memaparkan Mukhriz enggan bersalaman dengan Sultan Johor dan hanya mengangkat tangan ketika Istiadat Pemakaman Sultan Johor kelima, Almarhum Sultan Ahmad Shah, di Pekan, semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk meminta maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perkara itu disebabkan tindakan Mukhriz yang enggan bersalaman dengan Sultan Johor dan anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ketika Istiadat Pemakaman Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah, di Pekan, semalam.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, pihaknya turut menyifatkan pemimpin Bersatu itu sebagai seorang yang biadab dan hilang pertimbangan dalam menjaga etika seorang Melayu sebenar.

"Ketibaan Raja-Raja Melayu dan pembesar negara dan asing ke majlis tersebut adalah sebagai tanda hormat ditunjukkan kepada Paduka Ayahanda Tuanku yang disifatkan sebagai seorang Raja yang penuh sifat kasih sayang.

"Namun, di sebalik ketenangan dan kesyahduan itu, Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah dilihat bertindak biadab dan hilang etika keMelayuannya apabila tidak mahu bersalaman dengan Sultan Johor," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata, ketika sesi bersalaman itu, dilihat para pemimpin dan tetamu kehormat yang hadir berada dalam keadaan berbaris tetapi Mukhriz dengan tidak mempunyai perasaan malu terus melangkau Sultan Ibrahim dan anakandanya kerana tidak mahu bersalam.

"Dalam video yang tular, beliau (Mukhriz) kelihatan tidak bersalaman dengan Baginda Sultan dan terus bersalaman dengan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong. Perkara itu dilihat seolah-olah tidak menghormati Sultan Johor.

"Sikap yang ditunjukkan beliau ini adalah sifat kebudak-budakan dan tidak berakhlak, apatah lagi beliau adalah seorang menteri besar. Kami Pemuda UMNO menuntut agar beliau memohon maaf kepada Sultan Johor, rakyat negeri ini sama sekali tidak dapat menerima budaya buruk seperti itu," katanya.

Terdahulu, tular video 14 saat yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial dan menerima pelbagai kritikan dan perbalahan pendapat daripada rakyat.

Dalam video berkenaan, Mukhriz dilihat hanya mengangkat tangan ketika tiba gilirannya bersalaman dengan Sultan Ibrahim sebelum kembali bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah di sebelahnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia