Kebajikan anggota, veteran ATM jadi keutamaan

Liew Chin Tong
Liew Chin Tong
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kertas Putih Pertahanan yang akan dibentangkan Kementerian Pertahanan di Parlimen tahun depan turut meliputi aspek kebajikan anggota, keluarga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), demikian persidangan Dewan Negara, diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, kertas putih itu akan menggariskan hala tuju dan strategi pertahanan serta keselamatan negara.

Sementara itu, beliau berkata antara bantuan terkini yang diluluskan kerajaan ialah bantuan kewangan kepada persatuan bekas tentera sebanyak RM500,000 yang diagihkan kepada 140 persatuan bekas tentera.

“Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan kepada isu kebajikan, sama ada anggota yang masih dalam perkhidmatan atau yang telah menamatkan perkhidmatan.

“Justeru, usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan mereka akan diteruskan dan akan ditambah baik” katanya ketika menjawab soalan Senator Husam Musa yang ingin tahu langkah pembaharuan bagi meningkatkan kebajikan anggota tentera termasuk pesara.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kementerian menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM juga sedang menjalankan kajian berkaitan jurang pencen pesara ATM sebelum dan selepas 2004 dan hasil kajian akan dibawa ke agensi pusat untuk tindakan seterusnya.

Bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk veteran ATM pula, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia yang melibatkan 28 syarikat dan 13 persatuan industri dengan 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengkaji semula elaun pelayaran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebanyak RM20 sehari yang diberikan kepada anggota ketumbukan itu apabila singgah di pelabuhan luar negara kerana menyedari kadar tersebut rendah berbanding negara lain.

Menurutnya kementerian juga akan mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan yang pertama pada 24 Dis ini, sejak Akta Veteran diluluskan pada 2012.
Artikel Berkaitan:


Ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Hanafi Mamat yang ingin tahu mengenai respons kementerian kepada kenyataan menteri pertahanan Singapura mengenai pertikaian maritim antara negara berkenaan dan Malaysia, Chin Tong berkata, kementerian tidak ingin turut serta dalam konfrontasi secara lisan.

“Singapura ada pertimbangan mereka. Kita tidak ingin konfrantasi secara mulut. Tentera kita memang bersiap siaga dan isu ini telah ditangani oleh Kementerian Luar,” katanya. - Bernama