Kambing biri-biri pakai lampin pakai buang

Pasukan penyelidik mengkaji urin dan najis kambing untuk meningkatkan pengeluaran susu.
A
A

BRASILIA - Kambing biri-biri di Brazil dipakaikan lampin pakai buang untuk membantu meningkatkan keuntungan pertanian dengan mengkaji urin dan najis haiwan terbabit.

Pasukan penyelidik dari Syarikat Lanjutan Desa dan Penyelidikan Pertanian di selatan Brazil berharap kajian itu dapat mengenal pasti saiz rumput yang ideal untuk sumber makanan haiwan ternakan tersebut.

Mereka juga berharap maklumat itu dapat memberikan formula yang boleh dipercayai untuk meningkatkan keuntungan industri pertanian melalui pengeluaran susu.

Menurut ketua penyelidik, Fabio Garagorry, pengurusan padang rumput adalah salah satu faktor yang dapat menentukan kenaikan berat haiwan dan pengeluaran susu setiap hari.

"Tujuannya adalah untuk memberitahu penternak tentang ukuran ketinggian rumput yang sesuai bagi pengurusan ternakan mereka. Ia dapat membantu untuk meningkatkan berat haiwan dan pengeluaran susu harian.

"Ketinggian rumput yang optimum dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti haiwan ternakan sehingga 30 peratus di padang rumput yang sama," katanya. - Agensi