Suarakan pendapat menerusi kertas konsultasi rakyat

ptptn
ptptn
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkepentingan diseru menyuarakan pendapat menerusi kertas konsultasi rakyat bagi membantu kerajaan membuat keputusan dalam menggubal dasar berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata, ia merupakan saluran khusus membantu kerajaan menggubal dasar PTPTN yang sedia ada kepada lebih baik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang telah melibatkan diri dalam proses konsultasi rakyat dan menjemput lebih banyak lagi lain-lain pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas menerusi saluran khusus, https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat/.

“Memandangkan hutang PTPTN sebanyak RM40 billion memberi kesan dari segi kewangan terhadap negara dan pembayar cukai, kami menyeru kepada rakyat Malaysia untuk meneliti 10 idea yang dicadangkan di dalam kertas konsultasi rakyat serta menyumbangkan pendapat masing-masing berkaitan perkara ini yang signifikan kepada negara,” katanya pada sesi ‘townhall’ konsultasi rakyat pertama yang diadakan di Universiti Malaya pagi hari ini.

Dalam pada itu, Sheikh Shahruddin berkata, masa depan pembiayaan pendidikan tinggi mempunyai kesan terhadap setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Walaupun peminjam sedia ada mungkin berasa merekalah kumpulan lebih terkesan oleh polisi pembayaran balik PTPTN, namun terdapat kumpulan masyarakat yang lain mungkin tidak menyedari bahawa mereka juga memegang kepentingan dalam keputusan yang harus dibuat,” katanya.

Tambahnya, menurut statistik, jumlah pelajar yang memerlukan pinjaman daripada PTPTN sedang meningkat, dan dijangka terus meningkat daripada 180,000 kepada 250,000 pada tahun 2040, iaitu selaras dengan unjuran peningkatan pelajar yang dinyatakan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi.

“Berdasarkan kedudukan kewangan sedia ada, PTPTN tidak mampu menyediakan pinjaman secara mampan kepada mereka yang bergantung pada PTPTN untuk meneruskan pendidikan tinggi mereka pada masa depan. Ini memberi kesan terhadap prospek generasi masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, panel berharap ibu bapa, pelajar atau bakal peminjam, pembayar cukai, institus pendidikan tinggi awam dan swasta, majikan, organisasi bukan kerajaan, institusi kewangan serta ahli-ahli parlimen akan menyumbangkan maklum balas yang bernas,” katanya.