PM Britain berdepan tekanan

Theresa May
Theresa May
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Theresa May berdepan tekanan baharu daripada parti pimpinannya, Parti Konservatif dan pihak pembangkang yang mendesak pengunduran beliau.

Gesaan itu dibuat semalam selepas Menteri Tenaga, Andrea Leadsom yang menyokong langkah keluar dari Kesatuan Eropah (EU), telah meletak jawatan kerana kecewa dengan cara May menangani Brexit.

“Saya tidak lagi percaya dengan pendekatan yang kita ambil dalam merealisasikan keputusan referendum ke atas Brexit yang menyaksikan rakyat mengundi untuk keluar dari blok Eropah.

“Oleh itu, dengan rasa kesal dan berat hati, saya berundur daripada kerajaan,” menurut kandungan surat peletakan jawatan Leadsom yang dihantar kepada May.

Difahamkan, elemen dalam pelan baharu Brexit yang dicadangkan May menjadi punca Leadsom mengambil keputusan drastik sedemikian.

Susulan konflik yang semakin meningkat, beberapa ahli parlimen bertindak menggesa May meletak jawatan.

“Beliau perlu berbuat demikian selepas Pilihan Raya Eropah dan Parti Konservatif perlu mempercepatkan proses kepimpinan untuk mencari pengganti beliau,” lapor The Financial Times memetik kenyataan ahli parlimen, Tom Tugendhat.

Gesaan itu turut disokong Andrew Bridgen yang mengesahkan majoriti ahli parlimen sebulat suara mahu May berundur.

Artikel Berkaitan:

“Demi negara ini, May perlu melepaskan jawatannya. Kita perlukan pilihan umum segera,” kata pengerusi parti pembangkang, Parti Buruh, Ian Lavery.

Pelan baharu dicadangkan May yang akan dibahaskan di Parlimen pada 3 Jun depan didakwa tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding versi sebelum ini yang telah ditolak sebanyak tiga kali di Parlimen.

Di bawah pelan baharu Brexit tersebut, ia memberi peluang kumpulan penentang Brexit untuk membuat pilihan sama ada mahu mengadakan referendum kedua atau tidak jika ia diluluskan di Parlimen.

Selain itu, rang undang-undang baharu itu juga didakwa membiarkan perjanjian perdagangan terbuka dengan EU pada masa hadapan yang merupakan perubahan terbesar berbanding pelan yang pernah dipromosikan sebelum ini.

Sementara itu, beberapa media di negara itu melaporkan May dijangka mengumumkan peletakannya jawatannya.

Jika pemimpin Parti Konservatif itu berbuat demikian, beliau bagaimanapun akan kekal menjadi perdana menteri sehingga penggantinya dilantik di bawah proses dua peringkat dan dua calon akhir bakal berdepan undian 125,000 ahli Parti Konservatif.

Bekas menteri luar, Boris Johnson yang meletak jawatan pada musim panas lalu selepas May mengumumkan rancangan baharu Brexit dilaporkan menjadi calon pilihan utama untuk menggantikan beliau. - Agensi