Rakyat terkesan pemergian Almarhum yang berjiwa rakyat

Roziah Mohamad merakamkan gambar kenangan bersama Wan Nor Azizah ketika ditemui di Istana Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Roziah Mohamad merakamkan gambar kenangan bersama Wan Nor Azizah ketika ditemui di Istana Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
A
A
A

PEKAN - Benarlah bidalan orang dulu-dulu, 'hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga.'

Sifat mesra dan baik hati Raja-Raja Pahang telah membuatkan rakyat di negeri itu menyenangi dan sayang pada kepimpinan diraja dan sentiasa mengingati jasa yang diberikan.

Bagi rakyat Pahang, dengan kemurnian hati Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah yang berjiwa rakyat menyebabkan banyak perkara dapat diatasi dengan baik, contohnya masalah kesihatan dan pengangkutan.

Pemergian Raja berjiwa rakyat ini mengundang rasa sebak di hati rakyat Pahang.

Mereka hadir memberikan penghormatan buat Almarhum Sultan Ahmad Shah yang amat disayangi.

Roziah Mohamad,59, yang tinggal di Kampung Belimbing, Kuantan berkata, banyak kenangan yang ditinggalkan Almarhum kepadanya.

Zamariah
Zamariah

"Saya pernah ke Istana Abu Bakar bersama ibu bapa saya di istana yang sama bagi menghormati kemangkatan Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah pada 1974.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu, saya masih bersekolah rendah dan nak datang ke istana pun perlu menaiki bot, kerana tu, saya tekad kali ini walau apapun berlaku saya nak datang meskipun suami sedang bekerja," katanya ketika Sinar Harian ketika ditemui di Istana Abu Bakar hari ini.

Roziah hadir bersama anak perempuannya Wan Nor Azizah Wan Fadhil,23, yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Kalau anak tak ada pun, saya akan datang sendiri memandu kereta, malah ibu saya yang berusia 88 tahun dan sedang sakit pun dia ada cakap nak datang kerana ingin memberikan penghormatan kepada Almarhum yang sememangnya amat dekat dan rapat dengan rakyat," katanya yang tiba pada jam 8 pagi tadi.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, kemesraan yang ditunjukkan Almarhum membuatkannya amat disenangi dan disukai oleh rakyat.

"Almarhum selalu pergi ke Kampung Belimbing dan sangat baik kepada orang kampung.

"Ada sekali tu, Baginda bergurau, katanya 'kenapa durian banyak tidak hantar ke kawan (Baginda)'. Peramah betul dan cara bercakap dengan rakyat membiasakan diri awak dan saya sahaja...betapa baiknya cara Almarhum Tuanku yang kini diwarisi oleh Al-Sultan Abdullah," katanya.

Sementara itu, bagi Zamariah Zainol, 63, meskipun mengalami masalah semput dan sakit kaki akibat kemalangan yang menyukarkan untuk berjalan, tetapi tidak menjadi halangan untuk hadir memberi penghormatan terakhir.

"Kemangkatan Almarhum yang sebelum ini begitu mengambil berat terhadap rakyat merupakan satu episod sedih dan menjadi kehilangan yang besar.

"Saya datang dengan anak saya sejak jam kira-kira 8.30 pagi bagi memastikan dapat berjumpa dengan dia tetapi menyedihkan anak saya tidak dapat masuk kerana tidak berpakaian lengkap mengikut protokol yang telah ditetapkan.

"Sebab itulah walaupun terhincut-hincut dan terpaksa berhenti-henti berjalan kerana penat saya bertekad untuk datang memberikan penghormatan terakhir," ujarnya.