Suri rumah tipu urusan jual beli tanah dijel 28 bulan

Noor Azizah dihukum 28 bulan penjara di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menipu warga emas dalam urusniaga jual beli tanah dan rumah, tujuh tahun lalu.
Noor Azizah dihukum 28 bulan penjara di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menipu warga emas dalam urusniaga jual beli tanah dan rumah, tujuh tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang suri rumah dihukum 28 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menipu warga emas dalam urusniaga jual beli tanah dan rumah membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM145,000, tujuh tahun lalu.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Noor Azizah Ibrahim, 45, dari Chendering, di sini mengaku salah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu mangsa, Mustafa Ali, 67, dalam urusan jual beli tanah dan rumah milik tertuduh di Mukim Kuala Ibai Kuala Terengganu yang sudah dijual dijual kepada orang lain sehingga mendorong mangsa memindahkan RM45,000 ke akaun tertuduh di sebuah bank di daerah ini, jam 2.42 petang pada 2 Mei 2012.

Selain itu, tertuduh turut melakukan kesalahan sama sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM45,000 pada jam 1.13 petang pada 11 Jun 2016 dan jam 11.12 pagi pada 2 Julai 2012.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 28 bulan. Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap iaitu 14 November 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full dihadapan Majistert Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa menandatangani surat pindah milik tanah, bahagian atau pajakan di Pejabat Tanah Negeri Terengganu pada 2 Julai 2012 selepas membeli tanah dan rumah daripada tertuduh.

Pada 20 September 2012, mangsa sekali lagi pergi ke Pejabat Tanah Negeri Terengganu dengan tujuan mahu menukar nama pemilik tanah dan rumah namun dimaklumkan ia dimiliki beberapa pihak lain.

Artikel Berkaitan:

Hasil pemeriksaan mendapati tanah dan rumah itu sudah dijual tertuduh kepada orang lain sebelum dijual kepada mangsa dan mangsa tidak mengetahui kejadian berkenaan.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.