Rindu kasih kekanda sampai akhir hayat

Tengku Azlan (kanan) dan Tengku Kamarulzaman.
A
A

PEKAN - Kasih sayang seorang abang sentiasa menjadi kerinduan adinda-adinda Baginda dan akan dibawa hingga ke akhir hayat.

Tan Sri Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar berkata, ini kerana sikap penyayang kekanda beliau, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah yang sangat prihatin dan mengutamakan keharmonian adik beradik.

"Almarhum sentiasa mengambil berat dan tidak lokek membantu kesusahan adik beradik.

"Walaupun kami dalam keluarga yang besar, kami sangat rapat kerana kekanda sangat mengutamakan keharmonian dan menjaga hubungan kekeluargaan," katanya kepada sinar Harian ketika ditemui pada istiadat penghormatan, di Istana Abu Bakar, di sini.

Tengku Azlan berkata, sebagaimana baginda rapat di hati rakyat, begitulah kekanda dengan adinda adindanya.

Perkara itu turut diakui Leftenan Kolonel Datuk Seri Tengku Kamarulzaman yang tidak akan lupa setiap pesanan yang dititipkan Almarhum kepadanya.

Tidak dapat menahan sebak, saat ditanya apakah antara pesanan itu, Tengu Kamarulzaman hanya tergamam.

"Terlalu banyak pesanan Almarhum... jika dikenangkan kebaikan baginda, terlalu banyak untuk dihuraikan.

"Saya tidak mampu meluahkannya.... kenangan-kenangan semasa kami kecil terlalu banyak untuk diingati bahkan pesanan dan titah baginda sentiasa disematkan dalam hati," katanya.