Projek Jalan Telipok-Kiulu-Rondoggung siap Nov 2019

Datuk Seri Rina Mohd Harun - Foto Bernama
Datuk Seri Rina Mohd Harun - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Projek pembinaan Jalan Telipok-Kiulu-Rondoggung sepanjang 60 kilometer kini siap 90.68 peratus dan dijangka siap sepenuhnya November 2019, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata pada mulanya projek berkenaan yang dilaksanakan sejak 2016 dijadualkan siap Mac tahun ini namun terdapat beberapa masalah yang perlu diatasi termasuk keadaan cuaca yang tidak baik.

“Projek yang menelan belanja sebanyak RM288 juta ini berjalan lancar dan kelewatan berkenaan tidak menjejaskan kos pembinaan projek ini yang turut melibatkan pembinaan tiga jambatan yang mana satu daripada jambatan tersebut telah siap dan dua lagi sedang dalam proses penyiapan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pembinaan projek berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata Jalan Telipok-Kiulu-Rondoggung merupakan laluan alternatif kedua untuk ke Ranau daripada Kota Kinabalu.

“Jajaran jalan ini melibatkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau. Terdapat 26 kampung dan lapan sekolah termasuk satu sekolah menengah sepanjang laluan ini,” katanya.

Rina berkata, apabila siap kelak jalan berkenaan memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung, selain menjimatkan kira-kira 30 minit masa perjalanan daripada Kota Kinabalu ke Ranau berbanding laluan lama.

“Jalan ini juga akan memerikan manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di sepanjang jalan ini dan dengan adanya perhubungan jalan yang baik, mereka boleh memasarkan pelbagai produk tanaman ke pekan terdekat,” katanya.

Beliau juga yakin jalan berkenaan bakal melonjakkan ekonomi penduduk di sepanjang jalan berkenaan kerana banyak produk baharu yang boleh diceburi termasuk industri pelancongan luar bandar. – Bernama

Artikel Berkaitan: