'Suami dah tempah tiket kapal terbang'

Mohd Rashid (empat dari kiri) menyerahkan FPM kepada Jamaliah (dua dari kanan) di Kampung Sungai Punggur Tengah semalam.
Mohd Rashid (empat dari kiri) menyerahkan FPM kepada Jamaliah (dua dari kanan) di Kampung Sungai Punggur Tengah semalam.
A
A
A

BATU PAHAT – Hasrat seorang suami ingin membawa isteri dan tiga anaknya bercuti di Langkawi pada Julai ini tidak kesampaian selepas dia terlibat dalam kemalangan maut di KM 94 Jalan Johor Bahru-Melaka pada 15 Mei lalu.

Jamaliah Kardi, 30, berkata, Allahyarham suaminya, Mohamad Norhasrul Hashim, 34, juga sudah menempah tiket kapal terbang beberapa bulan lalu dan mereka sekeluarga sepatutnya bercuti di Langkawi pada 15 Julai ini.

“Tetapi kita sebagai manusia hanya mampu merancang kerana ALLAH yang menentukan dan saya reda apa yang berlaku kerana suami sebelum ini seringkali cakap bahawa apa yang kita ada di dunia ini hanya pinjaman sementara sahaja.

“Sekarang ini saya hanya laksanakan amanah yang arwah berikan kepada saya iaitu untuk jaga anak-anak serta kedua ibu bapanya dan sebagai isteri saya cuba untuk melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya.

Dia ditemui semasa penyampaian Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon di Kampung Sungai Punggur Tengah, Rengit di sini semalam.

Hadir sama Pengurus Perkeso Batu Pahat, Suhara Mustaffa dan Ketua Unit Faedah Perkeso Batu Pahat, Mohd Saifuddin Mohd Nor.

Jamaliah berkata, walaupun masih terasa kehilangan arwah suaminya yang bekerja sebagai juruteknik, dia akan tetap tabah membesarkan tiga anaknya yang masih kecil iaitu Nur Aatiq Farha, 8 bulan; Nur Amina Fatiha, 3, dan Mohamad Amirul Fattah, 5.

“Arwah mahu anak sulung kami menjadi seorang pelajar tahfiz dan saya cuba tunaikan impiannya dan anak-anak terutamanya Nur Amina sering bertanyakan bapanya dan saya hanya cakap bapa mereka sudah tinggal di rumah baharu.

Artikel Berkaitan:

“Tidak ada sebarang perubahan ketara sebelum suami meninggal cuma sejak awal Ramadan lalu, arwah akan berjalan kaki kira-kira 500 meter ke surau untuk menunaikan solat Subuh setiap hari dan kebiasaannya sebelum ini dia akan menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, dia akan menggunakan wang FPM tersebut untuk melakukan upah haji bagi arwah suaminya selain pencen bulanan yang diterima akan digunakan untuk pendidikan anak-anaknya.

Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang pada 15 Mei lalu, Mohamad Norhasrul yang dalam perjalanan balik kerja setelah tamat bertugas meninggal dunia selepas van dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan lori dan bas.