Kemangkatan Sultan Ahmad Shah

No Image Caption
A
A
A

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah disanjungi semasa hayat baginda kerana sifat baginda yang berjiwa rakyat dan mudah didampingi.

Almarhum sentiasa berada bersama rakyatnya dalam apa jua keadaan sama ada susah mahupun senang.

Bagaimanapun, baginda lebih banyak dilihat bersama rakyat apabila mereka berada dalam situasi sulit, terutamanya ketika ditimpa bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

Pada waktu itu, Almarhum adalah sosok pertama yang datang berkunjung setiap cerok negeri Pahang bagi mengubat nestapa yang dialami rakyat.

Baginda bukan sahaja melihat dan mengambil tahu apa yang berlaku malah turut membantu rakyat termasuk menyinsing seluar untuk meredah banjir, membawa barang bantuan dan sebagainya.

Kesanggupan Almarhum mencemar duli dan meletak ke tepi seketika protokol serta keselesaan istana menyebabkan rakyat begitu menyayangi baginda sehingga ke akhir hayatnya.

Sultan Ahmad mangkat pada usia 89 tahun semalam di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur sekitar jam 8.50 pagi.

Baginda bersemayam di atas takhta pemerintahan Diraja Pahang selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu kerana masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ahmad diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930.

Baginda merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah, puteri Sultan Perak.

Pada 7 Mei 1974, Sultan Ahmad dilantik menjadi Sultan Pahang kelima susulan kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Pertabalan baginda dilangsungkan di Balairong Seri, Istana Abu Bakar di Pekan setahun kemudian pada 8 Mei 1975.

Baginda pernah menggalas tugas sebagai ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh selama lima tahun dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Al-Fatihah.