46 warga Afrika ditahan dalam dua operasi di KL

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 46 warga Afrika ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Khas Warga Afrika pada 13 April dan 3 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepanjang dua kali operasi berkenaan seramai 183 warga asing Afrika diperiksa dan 46 ditahan terdiri daripada 25 lelaki dan 21 wanita.

Menurutnya, daripada jumlah itu, warga Nigeria paling ramai ditahan iaitu 21 orang diikuti Somalia (10), Sudan (lima),Uganda dan Guinea (3) dan masing-masing satu bagi warga Congo, Tanzania, Ghana dan Afrika Selatan.

“Operasi dijalankan di sekitar Jalan Changkat Thamby Dolah, Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Berangan, Jalan Genting Klang, Setapak dan Metro Prima Kepong, Kuala Lumpur.

“Operasi ini adalah sebahagian usaha yang dilaksanakan Polis Kuala Lumpur dalam membanteras masalah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Afrika di ibu negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, semua yang ditahan dalam operasi tersebut dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang dan Lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan,” katanya.

Mazlan menambah, Polis Kuala Lumpur amat komited dan akan meneruskan operasi seumpama ini bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing tanpa izin yang turut menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.