Bendera Perak dikibar separuh tiang

Foto: Astro Awani
Foto: Astro Awani
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan rasa dukacita atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai mewakili seluruh kerajaan dan rakyat Perak, merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaín Billah, serta kepada Sultanah Hajah Kalsom Abdullah dan kerabat diraja Pahang.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah telah meninggalkan terlalu banyak jasa sebagai Sultan Pahang kelima dan Yang di-Pertuan Agong ketujuh kepada negara, negeri dan rakyat.

"Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah bukan sahaja satu kehilangan besar, dalam kalangan rakyat di Pahang tetapi turut dirasai oleh rakyat di Perak," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Ahmad Faizal berkata, sebagai seorang Sultan yang terkenal dengan ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada, Almarhum telah meninggalkan legasi dalam pelbagai bidang, merangkumi bidang-bidang agama, pentadbiran, ketenteraan, pendidikan, budaya, sosial, kebajikan dan sukan.

Jelasnya, baginda terkenal sebagai seorang Sultan yang sentiasa mendekati dan senang didampingi oleh rakyat jelata.

"Semasa hayat, baginda berjaya memenuhi peranan Raja berperlembagaan, menjadi payung naungan yang berjaya menyatukan rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, hidup secara rukun dan damai lagi harmoni.

"Bersama-sama kita mendoakan semoga roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, dirahmati dan mendapat belas ihsan daripada ALLAH SWT ditempatkan bersama-sama roh para solihin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, sebagai tanda bersedih dan berdukacita rakyat di Perak, Sultan Nazrin menitahkan semua bendera di negeri Perak dikibarkan separa tiang sehingga selesai istiadat permakaman jenazah.