Yapeim mula laksana proses pemulihan sejak enam bulan lalu

Mohd Daud Bakar
Mohd Daud Bakar
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Proses pemulihan dan penjajaran semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mula dilaksanakan sejak enam bulan lalu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yapeim, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, proses itu bermula sejak LPA yang baharu itu dilantik oleh kerajaan.

"Pihak LPA Yapeim telah mengambil pendekatan yang rapi, tersusun, profesionalisme untuk mengurangkan kos pentadbiran, menutup ketirisan, menstruktur semula institusi milik penuh dan institusi di bawah kawalan Yapeim.

ARTIKEL BERKAITAN:PKR buat laporan polis siasat Ketua Pengarah Yapeim

ARTIKEL BERKAITAN:Ugut jangan undi PH: Armada pertikai keputusan kerajaan


"Yapeim membentuk semula jawatankuasa khusus dan melantik firma audit, PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mendapatkan pandangan pihak ketiga ke atas prosedur kewangan dan perolehan Yapeim," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Daud berkata, LPA Yapeim kini percaya bahawa institusi tersebut kini berada pada landasan yang baik untuk membangunkan semula reputasinya serta memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam di negara ini.

Semalam, Yapeim mengumumkan penggantungan tugas Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin.

Tindakan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh berkenaan dakwaan salahlaku dapat dijalankan.
Artikel Berkaitan:


Pada 18 Mei lalu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki didakwa kononnya Abibullah mempengaruhi kakitangan Yapeim pada pilihan raya umum lalu.

Dalam video yang tular itu memaparkan ucapan seorang lelaki dipercayai pegawai kanan Yapeim ‘mengugut’ kakitangannya supaya ‘jangan undi Pakatan Harapan (PH).

Pegawai kanan itu juga mengugut akan memeriksa satu persatu undi kakitangannya dan berkata “kalau anda mengundi PH, anda tak layak duduk di Yapeim. Pergilah cari kerja dengan DAP”.

Video berdurasi hampir dua minit itu dipercayai dirakam sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sehubungan itu, Mohd Daud berkata, LPA Yapeim akan mengadakan pertemuan tertutup dengan semua kakitangannya bagi menjelaskan tentang isu penggantungan tersebut.

"Kita juga akan berkongsi tentang hala tuju pentadbiran Yapeim dan kaedah pemantauan yang lebih mampan daripada pihak LPA khususnya bagi mengambil tindakan yang bersesuaian selaras laporan audit PwC yang telah siap pada penghujung April 2019 dan telah dimuktamadkan pada 2 Mei 2019," ujar beliau.

Selain itu, LPA Yapeim juga akan mendengar secara langsung daripada semua kakitangan mereka mengenai isu-isu sumber manusia terutama Skim Perkhidmatan Yapeim, imbuhan dan ganjaran serta pematuhan kepada tadbir urus yang baik dan profesionalisme.