Rumah hangus angkara bunga api

Anak sulung Zaharah, Azmi Mohamad, 53, menunjukkan tempat api bermula yang memusnah rumah ibunya.
A
A

HULU BESUT - Dua minggu lagi sebelum Aidilfitri, Zaharah Hassan, 73, sekeluarga ditimpa musibah apabila rumah mereka terbakar dipercayai angkara bunga api sekali gus memusnahkan keceriaan mereka menyambut perayaan itu.

Kebakaran kira-kira jam 6.30 petang semalam berlaku ketika Zaharah berada di dalam bilik air bahagian dapur rumahnya di Kampung Belaoh, Keruak di sini.

Menurut Zaharah, dua cucunya ada bermain bunga api di bahagian depan rumah sebelum dia dikejutkan dengan rasa panas selain jeritan cucunya.

“Sebelum kejadian, cucu makcik, Nur Aisyah Shahfia Mohd Ismail, 10, dan adiknya Nur Dayana Kristina, 8, ada minta mancis tapi makcik tak bagi tetapi selepas itu tak tahu lah dia dapat (mancis) dari mana.

“Mereka dikatakan bermain bunga api di bahagian tepi bawah di luar rumah berdekatan tangga pintu utama rumah dan di situ ada banyak kayu,” katanya yang turut mengatakan kebakaran bermula di bahagian itu. Zaharah yang mengalami masalah rabun penglihatan berjaya keluar dari rumah sehelai sepinggang dengan dibantu oleh cucunya itu.

Zaharah bersama cucunya, Nur Aisyah Shahfia yang masih trauma dengan kejadian itu.
Zaharah bersama cucunya, Nur Aisyah Shahfia yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu anak perempuan Zaharah, Harizah Mohamad, 32, berkata, dua anaknya itu sebelum ini tidak pernah bermain bunga api tetapi semalam entah bagaimana dia bermain bunga api.

Katanya, ketika kejadian, dia keluar dan mengetahui kejadian selepas dihubungi rakannya mengatakan rumah ibunya terbakar.

“Baju raya anak saya itu belum beli lagi tetapi persiapan untuk buat kuih muih semua musnah,” kata ibu tunggal ini yang tinggal tiga beranak yang tinggal bersama ibunya.

Harizah berkata, susulan kejadian itu mereka empat beranak tinggal sehelai sepinggang kerana semua perkakas di dalam rumah gagal diselamatkan.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana ibu dan anaknya tidak mengalami kecederaan dalam kebakaran yang melibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM50,000 termasuk kelengkapan rumah.