DAP Perak setuju bincang tertutup

Kah Woh (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Shahril di perkarangan Masjid Al-Dinniah, Kampung Sri Kinta di sini malam tadi.
Kah Woh (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Shahril di perkarangan Masjid Al-Dinniah, Kampung Sri Kinta di sini malam tadi.
A
A
A

IPOH - Semua isu sensitif yang boleh menimbulkan polemik dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat perlu dibincangkan secara tertutup.

Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, mengambil semangat PH sebagai kerajaan di bawah satu panji yang sama, perbezaan pandangan dalam isu sensitif tidak wajar dibincangkan secara terbuka kerana dibimbangi menimbulkan salah faham terutama kepada rakyat.

"Walaupun perbezaan pandangan itu perkara biasa tetapi ia boleh dijadikan senjata oleh pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan dan gabungan PH itu sendiri. Berkenaan dengan isu yang berbangkit sebelum ini, saya percaya pihak pimpinan PH akan berbincang berkenaan isu tersebut.

"Bagi saya ia adalah satu hak demokrasi untuk mana-mana pihak mengeluarkan pandangan, tetapi di bawah semangat PH kerajaan bersama semua pandangan perlu diutarakan secara berhemah," katanya.

Beliau berkata selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Masjid Jamek Al-Dinniah yang turut dihadiri Pengerusi Masjid Al-Dinniah, Shahril Yahya dan Pengerusi MPKK Kampung Sri Kinta, Asha Ahmad di Kampung Sri Kinta di sini malam tadi.

Kah Woh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin DAP yang mengkritik Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung isu kuota Bumiputera Matrikulasi dan kenyataan mengenai keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk mencari pekerjaan.

Menurutnya, sebarang pandangan berbeza atau ketidakpuasan hati terhadap sesuatu isu juga boleh diutarakan di dalam mesyuarat dalaman parti untuk pimpinan PH berbincang bukan sahaja membabitkan isu berbangkit tetapi isu-isu lain.

"Sememangnya semua pimpinan mempunyai pandangan masing-masing tetapi jika sesuatu keputusan dibuat, kesemua pimpinan adalah terikat kepada keputusan persetujui oleh Majlis Pimpinan PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kah Woh mengumumkan peruntukan sejumlah RM130,000 kepada masjid dan surau di kawasan DUN Tebing Tinggi sempena Ramadan kali ini.

"Sebanyak tiga masjid di kawasan DUN ini menerima RM10,000 iaitu Masjid Jamek Al-Dinniah, Kampung Sri Kinta; Masjid Ibnu Salam, Kampung Pengkalan Pegoh dan Masjid Al-Furqan di Taman SPPK.

"RM20,000 pula diberikan kepada Surau Al-Qomar, Taman Pengkalan Utama manakala RM50,000 diperuntukkan kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Pasir Puteh bagi tujuan menaik taraf kemudahan di sekolah tersebut," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sri Kinta bagi membina semula pintu gerbang Kampung Sri Kinta.