Sultan Ahmad Shah mangkat

A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi tadi.

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

"Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

"Sehubungan itu, saya mohon rakyat jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan semoga roh almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para syhuhada," katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dijadualkan membuat sidang media khas berkaitan kemangkatan itu pada 11.30 pagi di Wisma Sri Pahang di sini.

Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyerahkan takhta kepada Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda, selain pernah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada tahun 1956, 1959 dan 1965 kerana sultan berada di luar negara.

Baginda dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 25 Mei 1944 sebelum dimasyhurkan buat kali kedua pada 29 Mei 1949.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan pernah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975.

Baginda mempunyai lapan anakanda iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Datuk Muhaini, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Datuk Aishah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Datuk Shahariah dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua'adzam.

Tujuh daripada lapan anakanda itu merupakan cahaya mata perkahwinan baginda dengan Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mangkat pada 29 Jun 1988.

Almarhum kemudiannya bertemu jodoh dengan Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991. - Bernama