Kerajaan Perak kaji kesan projek PSR

 Abdul Yunus Jamhari
Abdul Yunus Jamhari
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedang mengkaji dan meneliti pandangan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, projek berkenaan mendapat bantahan NGO kerana dibimbangi menjejaskan kawasan utara Perak terutama hutan paya bakau di Tanjung Piandang dan Bagan Tiang.

"Aktiviti perlombongan pasir di dasar laut berhampiran Tanjung Piandang bagi projek itu menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan pantai tempatan. Saya sudah berhubung dengan Jabatan Perikanan Negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Kerian untuk mendapatkan keterangan lanjut.

"LKIM negeri tidak menolak sebarang pembangunan yang memberi impak positif namun nasib nelayan di negeri ini perlu dibela dan dijamin kesejahteraan mereka. Bagaimanapun, menurut mereka tiada sebarang perbincangan dibuat dengan mana-mana persatuan nelayan atau kumpulan nelayan yang bakal terjejas," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata, pihaknya menerima pandangan daripada Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) yang menolak dengan tegas aktiviti perlombongan pasir di kawasan penangkapan ikan kerana ia menjejaskan pendapatan nelayan pantai zon A terutama nelayan tradisional.

"Menurut mereka, kerja-kerja mengorek pasir itu akan menjejaskan kualiti air laut dan sumber marin. Ini boleh memberi kesan kepada habitat dan ekosistem hidupan laut sedia ada. Secara tidak langsung akan mengurangkan hasil tangkapan nelayan.

"Pada masa sama, mereka turut bimbang keselamatan nelayan di perairan terganggu dan risau akan menyebabkan kemalangan atau kerosakan kepada peralatan tangkapan nelayan disebabkan kapal yang membawa batu dan pasir akan melalui laluan sama," katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, di peringkat kerajaan Perak, perkara tersebut akan diperhalusi dengan lebih mendalam melalui penubuhan jawatankuasa yang dianggotai jabatan dan agensi yang berkaitan, pakar dari universiti tempatan serta penglibatan NGO untuk melihat perkara ini secara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perbincangan dua hala di antara kerajaan Perak dan Pulau Pinang juga mungkin akan diadakan bagi meneliti isu ini dengan lebih lanjut.

Pada 18 April lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew mengumumkan projek menambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang itu mendapat persetujuan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) untuk dilaksanakan.

Tiga buah pulau buatan itu kemudiannya akan dijual sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) negeri yang dianggarkan bernilai RM46 bilion.

Projek itu dikatakan akan menggunakan sebanyak 189 juta meter padu (m3) pasir yang akan dikorek di kawasan 20 batu nautika berhampiran perairan di daerah Manjung hingga Kerian, Perak.