Akok berlauk Mok Ku jadi 'rebutan'


Sharifah Norhidayah menunjukkan akok berlauk yang menjadi pilihan utama.
Sharifah Norhidayah menunjukkan akok berlauk yang menjadi pilihan utama.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Akok berlauk yang berintikan daging lembu dan ditumis bersama rempah kari dengan campuran cili serta bawang goreng mungkin asing bagi penggemar hidangan tradisional Kelantan itu.

Namun di Rantau Panjang Akok Berlauk Mok Ku yang diusahakan oleh Sharifah Norhidayah Syed Akil, 33, bukan sahaja popular malah menjadi rebutan penggemar kuih itu untuk dijadikan juadah ketika berbuka puasa.

Sharifah Norhidayah berkata, setiap kali Ramadan permintaan kuih itu akan meningkat berbanding hari-hari biasa sehingga dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan para pelanggan.

"Namun Ramadan kali ini saya mengambil keputusan menghadkan tempahan kerana terpaksa menjaga anak yang berusia lima bulan.

"Uniknya akok ini ialah ia mempunyai campuran rasa pedas, manis, masin dan lemak. Kesemua campuran itu akan disatukan dan kemudian dibakar di atas dapur sehingga masak," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Sekolah Cina Rantau Panjang.

Menurutnya, aroma yang dikeluarkan oleh akok tersebut mampu membuatkan penggemar kuih itu kecur air liur.

Katanya, kuih tersebut dijual dengan harga RM5 sebiji dan kebanyakan tempahan yang terimanya dari penduduk di sekitar Rantau Panjang.

Artikel Berkaitan:

Sharifah Norhidayah menunjukkan sebahagian daripada tempahan yang disiapkan.
Sharifah Norhidayah menunjukkan sebahagian daripada tempahan yang disiapkan.

"Untuk penduduk Rantau Panjang, saya buat perkhidmatan penghantaran secara percuma yang dilakukan oleh suami, Mohd Hamedy Che Hasan,33," katanya.

Sharifah Norhidayah berkata, akok berlauk itu adalah resipi asli dari ibunya Zaharah Abdul Salam,74, atau lebih mesra dengan panggilan Mok Ku.

Katanya, disebabkan itulah dia mengabadikan nama ibunya untuk kuih tersebut.

"Saya mula mempelajari selok-belok membuat kuih akok sejak di bangku sekolah rendah semasa membantu ummi.

"Alhamdulillah, kemahiran itu terus kekal sehingga hari ini," katanya.

Sharifah Norhidayah berkata, selain akok berlauk, akok pisang dan pandan turut menjadi pilihan para pelanggan.

Akok pisang.
Akok pisang.

Katanya, setiap hari dia turut menerima tempahan dari pelanggan yang menggemari kuih tersebut.

"Akok pisang saya jual dengan harga RM6 sebiji manakala akok pandan RM5 (sebiji)," katanya yang mula membakar akok itu seawal jam 9 pagi.