Polis masih siasat kes gaduh di The Zone

A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Gara-gara lambat membuat bayaran parkir di mesin, dua lelaki bergaduh hingga ditahan polis, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pergaduhan tercetus daripada tegur menegur yang berlaku antara kedua-dua suspek tersebut.

"Lebih kurang 1.20 pagi pada 19 Mei lalu, telah berlaku pergaduhan dua lelaki berpunca daripada masalah pembayaran tiket parkir melalui mesin di kaki lima hotel dan pusat hiburan The Zone, Stulang.

"Salah seorang tak puas hati terhadap seorang lagi suspek kerana ambil masa lama dalam proses pembayaran. Selepas tegur menegur akhirnya berlaku pergaduhan antara mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini tular beberapa video di media sosial yang menunjukkan kekecohan oleh sekumpulan lelaki dan beberapa anggota polis sedang menahan dua lelaki berbaju hitam serta merah.

Menurutnya, dalam kejadian itu, rakan-rakan bagi kedua-dua suspek turut masuk campur hingga menjadi kecoh.

"Pada waktu sama, kawan-kawan kedua-dua pihak telah cuba campur tangan namun polis bantuan yang berada di tempat kejadian

"Kemudian polis bantuan dapat menahan kedua-dua suspek serta meredakan keadaan," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan dan merosakkan harta benda awam.