Peniaga jangan ambil untung lebih

Ramakrishnan meninjau harga ayam segar di pasaraya Kip Mart Tampoi.
Ramakrishnan meninjau harga ayam segar di pasaraya Kip Mart Tampoi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peniaga di negeri ini diingatkan agar tidak mengambil keuntungan lebih pada barangan yang tidak disenaraikan dalam harga kawalan sempena Aidilfitri tahun ini.

Exco Hal Ehwal Pengguna, Dr S.Ramakrishnan berkata harga yang rendah akan membuatkan pengguna gembira dan berbelanja lebih.

"Saya minta penjual meletakkan harga yang berpatutan bagi barangan-barangan bukan kawalan ini. Peniaga perlu lebih prihatin dan jangan ambil untung banyak.

"Ini musim perayaan jadi kita mahu semua orang gembira dan kalau mereka gembira, sudah tentu mereka berbelanja lebih," katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2019 di sini, hari ini.

Sebanyak 24 barangan keperluan disenaraikan dalam skim tersebut yang berkuatkuasa 21 Mei hingga 19 Jun depan.

Beliau yang ditemani Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro sempat meninjau serta membuat perbandingan harga bagi beberapa barangan keperluan di Kip Mart Tampoi.

Ramakrishnan turut menyarankan agar pengguna lebih bijak memilih kedai yang menawarkan harga lebih rendah daripada harga kawalan ditetapkan kerajaan.

"Walaupun kerajaan kawal harga tapi lebih berkesan kalau pengguna cekap dan bijak ketika berbelanja.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada kedai yang tak ikut ketetapan dibuat kerajaan jadi saya minta pengguna jangan sokong, pilih kedai yang jual di bawah harga kawalan," katanya.

Katanya, peniaga yang menaikkan harga mendadak dan ketara akan berdepan tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Antara barangan yang disenaraikan dalam SHMMP termasuk ayam standard (RM7.50/kg), telur ayam gred A (40 sen/biji), daging lembu tempatan (RM34/kg), cili kering (RM16/kg), kelapa parut (RM7.20/kg/, bawang besar import (RM3/kg) dan bawang putih (RM7/kg).

Selain itu, ikan kembung atau mabung RM14 sekilogram, ikan selayang RM9 sekilogram dan ikan segar beku kembung serta selar RM10 sekilogram.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui beberapa saluran ditetapkan termasuk aplikasi Ez ADU dan WhatsApp ke 0192794317.