Peranan Askar Wataniah penting sebagai barisan kedua

Syed Faizuddin bergambar bersama sukarelawan Askar Wataniah di Kem Rejimen 516 Askar Wataniah, di sini malam tadi.
Syed Faizuddin bergambar bersama sukarelawan Askar Wataniah di Kem Rejimen 516 Askar Wataniah, di sini malam tadi.
A
A
A

TAWAU - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penubuhan peningkatan dan pembangunan Askar Wataniah sebagai barisan kedua Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat diperlukan bagi menggerakkan jentera-jentera sokongan kepentingan awam yang berfungsi ketika negara berada di saat genting.

Baginda bertitah, peranan pasukan simpanan sukarela Askar Wataniah adalah elemen cegah rintang yang terbaik dengan struktur organisasinya yang mantap dan dipercayai.

"Peranan dan tanggungjawab tidak terhad kepada kemampuan memikul senjata dengan kekuatan fizikal di barisan hadapan sahaja, malah melalui penghayatan dan semangat patriotisme.

"Tugas pasukan keselamatan amat mulia dan disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat kerana menjaga keamanan dan keselamatan negara merupakan asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan," titah baginda selepas majlis berbuka puasa di Kem Rejimen 516 Askar Wataniah, di sini malam tadi.

Tuanku Syed Faizuddin turut menegaskan bahawa rakyat perlu sematkan di jiwa bahawa Malaysia adalah negara yang berdaulat.

"Oleh itu, bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan mengekalkan kedaulatan negara, ia memerlukan peranan daripada semua pihak baik individu mahu pun masyarakat," titahnya.

Dalam pada itu, baginda mewakili seluruh ahli delegasi Perlis turut mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas segala pengorbanan baik anggota tetap mahu pun sukarelawan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Ketibaan baginda disambut Komander rejimen ini, Briged Jeneral Tan Sri Liew Yun Fah.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.