Mat Sabu minta henti spekulasi, jangan ganggu siasatan

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang masih menjalankan siasatan terhadap isu-isu perolehan dan kewangan Kementerian Pertahanan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengingatkan, pihak-pihak yang tiada kaitan jangan membuat sebarang spekulasi termasuk isu seperti pembelian helikopter kerana ia akan mengganggu proses siasatan.

“Sepertimana hasil siasatan jawatankuasa tersebut berhubung isu ‘land swap’ sebelum ini, Kementerian Pertahanan akan memanjangkannya kepada Kabinet.

“Kemudian, barulah lapor kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, helikopter tentera bernilai RM300 juta yang dibeli ketika pentadbiran BN sehingga kini masih belum dihantar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Spekulasi tersebut didakwa dimaklumkan oleh sumber yang rapat dengan penyiasatan ke atas dakwaan rasuah dan salah urus dalam pembelian aset pertahanan.

Difahamkan enam helikopter tempur ringan MD530G dikeluarkan oleh MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas dipesan oleh Kementerian Pertahanan yang dipimpin oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika itu.

Artikel Berkaitan: