Polis buru tiga lelaki penarik kereta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki tempatan sedang diburu polis selepas dipercayai cuba melakukan pemerasan terhadap seorang wanita kerana didakwa mempunyai tunggakan bayaran kereta dalam satu kejadian di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 32 tahun itu telah menerima panggilan daripada satu nombor peribadi memintanya mengalihkan keretanya yang menghalang lalu lintas di MITEC.

Beliau berkata sebaik wanita itu tiba di kereta, beliau dimaklumkan oleh tiga lelaki yang berada di situ bersama sebuah lori tunda bahawa keretanya mempunyai tunggakan bayaran pada bank selama 19 bulan dan cuba untuk menarik kereta tersebut.

"Cubaan mangsa untuk menghubungi pihak bank telah dihalang oleh ketiga-tiga suspek dan pihak polis yang tiba tidak lama kemudian telah mengarahkan kesemua mereka untuk pergi ke balai polis bagi membuat laporan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-ketiga suspek gagal menghadirkan diri ke balai polis berdekatan bagi membuat laporan polis.

Selain itu, beliau berkata, wanita itu turut mendakwa bahawa tidak pernah menerima sebarang notis tunggakkan atau sebarang perintah pemilikan semua daripada pihak bank.

“Siasatan dilakukan di bawah seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Katanya, butiran ketiga-tiga suspek itu telah diperolehi dan usaha mengesan serta menangkap mereka sedang giat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, satu klip video berdurasi dua minit tiga saat tular di laman Facebook memaparkan tindakan seorang lelaki ditenangkan oleh anggota polis yang bertegas untuk menarik kereta milik mangsa.

Lelaki berkenaan bersama dua lagi rakannya mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran dengan pihak bank dan kelihatan sangat meyakinkan apabila bercakap dengan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian. - Bernama