Bayi maut ketika tidur meniarap di taska

Dayangku NurAlya Mariyam, empat bulan maut dipercayai lemas ketika meniarap semasa tidur di sebuah taska di daerah Kuala Terengganu hari ini.
Dayangku NurAlya Mariyam, empat bulan maut dipercayai lemas ketika meniarap semasa tidur di sebuah taska di daerah Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan maut dipercayai lemas ketika meniarap semasa tidur, di sebuah taska di daerah ini, pagi tadi.

Arwah, Dayangku NurAlya Mariyam Awangku Hazrin, ditemui dalam keadaan tertiarap dan wajahnya kebiruan tidak sedarkan diri oleh petugas taska sebelum menghubungi ibunya, Syahirah Mhd Ali, 31, kira-kira jam 10 pagi.

Sejurus dimaklumkan kejadian itu, ibu arwah yang juga penjawat awam bergegas ke taska berkenaan sebelum mendapati anak bongsu daripada dua beradik itu dalam keadaan lemah dan tak bermaya.

Arwah seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan selanjutnya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Syahirah berkata, dia langsung tidak salahkan pihak taska atau mana-mana pihak bertanggungjawab kerana tahu insiden berlaku bukan disebabkan kecuaian sesiapa.

"Arwah yang dilahirkan pada 13 Januari lalu sebenarnya baru belajar meniarap dan mungkin semasa dia sedang cuba meniarap, tiada petugas di situ.

"Saya difahamkan dia sedang tidur semasa ditinggalkan oleh guru taska menjaganya dan mungkin sepanjang tempoh itu, dia cuba meniarap," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HSNZ, di sini.

Syahirah berkata, meskipun dia kehilangan arwah pada hari lahir suaminya, Awangku Hazrin Awangku Hidup yang ke 34, tetapi dia reda dan menerima ujian ini sebagai ketentuan dari-Nya.

Artikel Berkaitan:

"Saya tetap bersyukur kerana ALLAH sudi pinjamkan anak syurga ini kepada kami sekeluarga walaupun hanya empat bulan.

"Saya terima dan reda dengan ujian ini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini," katanya dalam nada sebak.

Syahirah enggan anaknya dibedah siasat kerana tidak mahu mayat terseksa selain berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada semua pihak termasuk pihak pengurusan taska berkenaan.

Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, di sini.

Selain arwah, pasangan itu memiliki seorang lagi cahaya mata perempuan, Dayangku Nur Hawa Marisa Awangku Hazrin, dua tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian tersebut.