Kuota matrikulasi: Kerajaan harus pertahankan Maszlee

Maszlee -Foto: Asril Aswandi Syukor
Maszlee -Foto: Asril Aswandi Syukor
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertahankan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik daripada serangan media dan tekanan politik berhubung isu kuota matrikulasi.

Exco Armada, Muzzamil Ismail berkata, tindakan pimpinan tertinggi DAP, MCA dan Gerakan jelas sekadar berlumba-lumba menjadi jaguh kaum.

Beliau mengingatkan bahawa kenyataan sensitif yang dikeluarkan pimpinan adalah seperti bom jangka yang boleh meletupkan keharmonian.

“Desakan dan gesaan agar kuota dihapuskan adalah kerja gila dan tidak berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Malah, tema Malaysia Baharu tidak hanya berkait rapat dengan kesamarataan iaitu penghapusan kuota terhadap kaum.

“Nasihat saya, tidak bersetuju atau berpuas hati bukan lesen membodohkan individu. Awas, kenyataan sensitif yang dikeluarkan pimpinan adalah seperti bom jangka yang boleh meletupkan keharmonian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muzzamil menambah, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam tidak perlu memohon maaf dan berganjak ke belakang biarpun terdapat sejuta yang menandatangani sebarang petisyen mendesak Menteri Pendidikan itu meletakkan jawatan.

“Jika mahu bicara soal (keadilan), jangan cabar keterbukaan yang diberi. Jika tidak, bubarkan sekolah vernakular baru kita bincang tentang kuota matrikulasi,” ujarnya.

Katanya, kesemua pimpinan tertinggi parti komponen PH wajib teguh menyokong pendirian Maszlee, termasuk pimpinan pembangkang.

Artikel Berkaitan:

16 Mei lalu, media melaporkan Maszlee sebagai berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

“Kalau kita nak ubah (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia Baharu maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” katanya.

Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.