Program Food Bank akan diteruskan selepas Ramadan

Fuziah mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di Padang MPK hari ini.
Fuziah mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di Padang MPK hari ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Program Food Bank atau bantuan makanan yang diwujudkan sepanjang bulan ramadan akan diteruskan selepas syawal bagi membantu golongan memerlukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, program itu sudah dimanfaatkan hampir 100 orang pada setiap hari.

Menurutnya, pelajar universiti dan sekolah tahfiz antara yang mendapat manfaat itu apabila makanan tersebut diperoleh daripada peniaga bazar Ramadan.

“Saya mahu program ini diteruskan selepas hari raya dan kalau boleh lebih banyak sumbangan daripada pihak hotel selain peniaga makanan di pasar tani selepas ini.

“Jadi, saya juga harapkan supaya pasar raya juga dapat memainkan peranan dalam memberikan sumbangan makanan yang mereka jual seperti roti dan donut,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK 1) di sini hari ini.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, makanan yang disumbangkan pasar raya dan hotel perlu diberi keutamaan dalam program ini.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana makanan itu ada ‘sale by date’. Kebiasaannya kalau ada ‘sale by date’, mereka akan turunkan daripada rak jualan dua atau tiga hari lebih awal, jadi sempat untuk diagihkan kepada penerima.

“Malah, prosedur operasi standard (SOP) juga kita sudah siapkan supaya kalau makanan itu diturunkan sebelum jam 11 pagi, jam 3 petang pada hari yang sama sudah sampai kepada penerima,” katanya.

Fuziah berkata, Food Bank Kuantan yang diwujudkan adalah percubaan bagi membantu pelajar universiti dan tahfiz dan mendapat sambutan baik sehingga berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi.