Nahas kereta 'sardin', polis minta bantuan Kedutaan Myanmar

Gambar kecil: Omar Bakhtiar Yaacob
Gambar kecil: Omar Bakhtiar Yaacob
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis akan mendapatkan bantuan Kedutaan Myanmar bagi menguruskan tiga rakyatnya yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki 16 penumpang di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Gunong Semanggol di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan jurubahasa dari negara itu bagi membolehkan urusan siasatan kes kemalangan itu dijalankan susulan 11 mangsa tercedera termasuk, tujuh cedera parah, tidak mampu berbahasa Melayu dan Inggeris.

Menurutnya, pihaknya mendapati kesemua warga asing itu baru dibawa masuk ke dalam negara ini melalui satu sindiket beroperasi di utara tanah air.

"Kemalangan itu turut menyebabkan tujuh mangsa cedera parah termasuk seorang daripadanya yang tercampak keluar dari kenderaan dinaiki sebelum terjatuh di bawah jambatan lebuhraya berhampiran Kampung Tebuk Panchur, Gunong Semanggol pada jam 7.34 pagi tadi.

"Kesemua warga Myanmar terbabit berusia lingkungan 20-an di mana kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan perjalanan.

"Selain itu, kita turut mengenal pasti seorang pemandu dan penumpang hadapan bertindak melarikan diri selepas kemalangan berlaku," katanya pada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, polis juga sudah mengenal pasti Identiti pemilik kenderaan bernombor pendaftaran WSY 3316 itu iaitu M Vasudavan,57, yang beralamat di Taman Pelangi, Kampar.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati pemilik kenderaan itu mempunyai 16 rekod saman.

Artikel Berkaitan:

"Polis kini sedang menubuhkan satu pasukan khas di daerah Kerian dan Kampar bagi mengesan pemandu dan penumpang yang melarikan diri," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan kesemua penumpang warga Myanmar terbabit dalam kemalangan itu dipercayai cuba diseludup ke selatan semenanjung oleh sebuah sindiket.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, kenderaan jenis Nissan X-trail itu dipercayai berkeadaan seperti 'tin sardin' apabila dipenuhi 16 penumpang warga Myanmar secara bersesak-sesak.

"Kesemua mangsa kemalangan cedera ringan ditahan polis untuk siasatan lanjut, manakala mangsa cedera parah ditempatkan dalam wad.

"Kita tidak menolak kemungkinan kesemua mangsa warga Myanmar dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini ke selatan tanah air dari arah utara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta seludup warga asing macam 'tin sardin'