Mahu lebih penghayatan silang budaya: Maszlee

Maszlee (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan di Kampung Parit Haji Hashim, Simpang Renggam.
Maszlee (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan di Kampung Parit Haji Hashim, Simpang Renggam.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan mahu sekolah dan universiti di negara ini menekankan lebih penghayatan mengenai silang budaya dan kaum supaya perpaduan berbilang bangsa terus dapat dipupuk.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, beliau juga konsisten dengan cadangannya sebelum ini yang mahukan agar setiap sekolah dan universiti di negara ini mengadakan program merentas budaya dan kaum secara kerap.

"Baru-baru ini sewaktu saya ke Pulau Pinang, saya lihat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ada kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan di negeri Johor kita ada Sekolah Islam Hidayah (SIH) yang aktif buat program bersama sekolah-sekolah vernakular lain.

"Jadi, kita galakkan sekolah berlainan aliran ini untuk buat program silang budaya dan biasanya silang budaya ini lebih kepada perayaan. Kalau boleh kita hendak pergi lebih jauh daripada itu untuk saling memahami budaya masing-masing," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam ditemui pada sidang media Penyerahan Plak Program Bantuan Rumah Harapan di Kampung Parit Haji Hashim, di sini, petang semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha yang dilaporkan bahawa subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Menurutnya, apa yang penting adalah penghayatan bagaimana pelajar saling menghayati dan berinteraksi melalui aktiviti yang lebih praktikal seperti kokurikulum.

"Cadangan tersebut tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti penganut pelbagai agama di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan: