Salah guna kebebasan suara untuk semai kebencian

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kebebasan bersuara yang diberikan sepatutnya membuka pintu untuk pandangan yang sihat serta matang, namun kelihatan ia disalahgunakan untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan dan sesama rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ruang kebebasan perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab dan matang.

“Tragedi hitam rusuhan kaum pada 13 Mei di negara kita yang berlaku 50 tahun lepas sudah cukup memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia, kita tidak akan sekali kali membenarkan tragedi seumpama berulang.

“Malangnya beberapa hari lalu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahya memburukkan nama kerajaan dengan membuat tuduhan sensitif mengatakan 'Islam dibuli' melalui isu setem Pos Malaysia yang mempunyai gambar rumah ibadat iaitu gereja," katanya.

Menurutnya, tiada kebebasan mutlak yang boleh dibenarkan tanpa kawalan undang-undang untuk menjaga ketenteraman dan keamanan negara.

“Adakah terlalu cetek pemikiran orang asing kerana setem tersebut untuk mempercayai Malaysia ini negara Kristian dan begitu lemahnya pemikiran orang Islam di Malaysia sehinggakan gambar rumah ibadat di setem telah menyebabkan Islam dibuli?,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Presiden ISMA itu tidak mengeluarkan kenyataan 'Islam dibuli' pada tahun 2016 apabila setem itu mula dikeluarkan, sebaliknya baru sekarang mempersoalkannya.

"Adakah disebabkan PH yang mentadbir sehinggakan isu itu digunakan untuk menimbulkan suasana tidak selesa dan kebencian antara kaum dan agama.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun permohonan maaf sudah dibuat, sudah sampai masanya pihak penggubal undang-undang menimbangkan satu bentuk akta bagi menghalang tuduhan melulu sebegini yang boleh menimbulkan kebencian terhadap agama dan kaum," katanya.

Raja Kamarul Bahri bekata, itu adalah taktik semasa diguna oleh golongan tidak bertanggungjawab yang sengaja mengeluarkan kenyataan provokasi dan kontroversi supaya ia tersebar luas dan tular.

"Sudah sampai masanya pihak berkuasa perlu bertindak dalam kerangka undang-undang sedia ada sebelum ramai lagi pihak lain mengambil kesempatan jika tiada tindakan diambil," katanya.