Jamin bekalan makanan utama musim raya cukup

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (empat, kiri) bergambar bersama para penerima bantuan keperluan makana harian Program Ihya Ramadan Menteri KPDNHEP bersama warga komuniti pengguna jajahan Tumpat di Pertubuhan Peladang Kawasan Bakat Baru, Kampung Paloh, Wakaf Bharu, hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan utama termasuk ayam, telur dan kelapa adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bekerjasama erat dalam memastikan perkara itu.

"Kita telah senaraikan sejumlah besar barangan yang disediakan untuk keperluan musim perayaan termasuk 800 juta telur ayam dan 27 juta biji kelapa. Kita beri jaminan bekalan makanan utama adalah mencukupi sepanjang musim perayaan dengan harga yang terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Ihya Ramadan Menteri KPDNHEP Datuk Saifuddin Nasution dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersama warga Komuniti Pengguna Jajahan Tumpat di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KADA Datuk Husam Musa dan Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abdul Rahman.

Pada program itu seramai 500 orang miskin dan kurang berkemampuan menerima sumbangan berupa barangan makanan asas termasuk tepung, beras, susu dan gula di program tersebut yang disumbangkan oleh pasaraya Econsave dan Speedmart.

"Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban golongan memerlukan," katanya sambil menambah jajahan Tumpat dipilih kerana ia antara daerah paling ramai kelompok miskin tegar di negara ini.

Mengenai kenaikan harga secara mendadak sepanjang bulan Ramadan, Saifuddin berkata KPDNHEP belum menerima sebarang aduan. Langkah penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan dikenakan ke atas pengguna.

“Setakat ini sebahagian aduan membabitkan kenaikan harga makanan di restoran atau kedai makan, diikuti penipuan perniagaan atas talian dan iklan yang mengelirukan.

"Kita dapati penipuan atas talian menunjukkan trend menaik oleh itu kita nasihatkan pengguna lebih berhati-hati dengan menyemak paparan iklan terlebih bagi mengelak daripada tertipu. Pengguna boleh memanfaatkan tribunal tuntutan pengguna sebagai platform untuk membuat tuntuan gantirugi berkenaan pembelian barangan atau perkhidmatan," katanya.

Sementara itu katanya KPDNHEP telah mengeluarkan sejumlah 447 notis kepada 38,000 premis jualan di bazar Ramadan dalam tempoh 10 hari puasa melalui penguatkuasaan yang dilakukan oleh 2,300 pegawai kementerian itu di seluruh negara membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga. - Bernama