Temu bual eksklusif Faziani jadi memori indah krew Nona

Krew Nona diberi layanan istimewa oleh Allahyarham dan suaminya. -Foto Nona
A
A

SHAH ALAM - Khabar duka pemergian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand semalam telah mengejutkan pelbagai pihak.

Selain keluarga dan teman-teman seperjuangan, pemergian Allahyarham turut dirasai oleh krew Majalah Nona yang berkesempatan menemubual dan diberi peluang melihat kediaman indah milik Faziani dan suaminya di Tumpat, Kelantan pada awal Mac lalu.

Wartawan Nona, Rosmah Idayu Abu Samah meluahkan rasa terkejut setelah menerima perkhabaran tersebut daripada editor pengurusannya, Kiffy Razak.

"Masih teringat pesanan WhatsApp saya bersama Allahyarham beberapa hari sebelum menjelang 1 Ramadan di mana arwah memaklumkan akan berangkat mengerjakan umrah.

"Ketika itu, tidak sampai dua minggu selepas sesi fotografi bersama majalah Nona," katanya.

Menurut Rosmah Idayu, Nona adalah majalah pertama yang diundang ke kediaman Allahyarham untuk membuat liputan secara eksklusif.

"Ketika kunjungan krew majalah Nona baru-baru ini, Allahyarham tidak habis-habis memanjatkan rasa kesyukuran di atas kurniaan rezeki terhadap perniagaan yang diusahakannya.

"Tambahan pula, Allahyarham turut memaklumkan perniagaannya juga kini sedang berkembang ke Indonesia," katanya.

Pada masa sama, Rosmah Idayu menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang ramah dan murah dengan senyuman.

"Allahyarham seorang usahawan yang sentiasa ceria malah sikap ramah dan murah dengan senyuman seakan menjadi trademark buat dirinya.

"Selain itu, Allahyarham juga dilihat sebagai seorang yang bekerja kuat demi meningkatkan jenama kosmetiknya. Ketika krew Nona berkunjung ke kediamannya baru-baru ini, Allahyarham rancak bercerita mengenai susah senang yang terpaksa dilaluinya untuk memastikan Dnars Skincare menembusi pasaran Indonesia," katanya.

Dari kiri, Rosmah Idayu bersama juru foto, Tuan Azman Tuan Muda dan Editor Nona, Nor Zalina Mohd Alias sempat bergambar kenangan selepas selesai menemu buat Allahyarham di kediamannya di Tumpat, Kelantan. -Foto Nona
Dari kiri, Rosmah Idayu bersama juru foto, Tuan Azman Tuan Muda dan Editor Nona, Nor Zalina Mohd Alias sempat bergambar kenangan selepas selesai menemu buat Allahyarham di kediamannya di Tumpat, Kelantan. -Foto Nona

Bercerita lanjut, Rosmah Idayu berkata, ketika sesi temu ramah Allahyarham memaklumkan bahawa kediaman tersebut baharu diduduki tidak sampai tempoh setahun.

"Allahyarham beritahu, kediaman yang baharu dibina itu adalah bersebelahan dengan kediaman ibu mentuanya yang lumpuh.

"Katanya kediaman tersebut dianggap sebagai lokasi tempat mereka adik-beradik berkumpul dan selalunya mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin," katanya.

Katanya, pengalaman menemubual Allahyarham akan menjadi memori indah yang akan dikenang selamanya.

"Sepanjang sesi menemubual, kami krew Nona dilayan dengan begitu baik sekali. Kami dijamu dengan makanan yang sedap-sedap sehingga Allahyarham mahu bungkuskan kami nasi kerabu untuk di bawa pulang ke hotel.

"Kami juga diberikan sepasang telekung dan pemberian ini akan menjadi memori yang kami simpan sehingga ke akhir hayat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengasas Dnars Skincare maut kemalangan di Thailand

'Doakan mommy saya, saya tak kuat...'

‘Mama pesan jangan rebut harta’

Salam subuh sayangku, antara 'posting' terakhir Faziani

'Kuat beribadah, kematian yang dicemburui'

Faziani dalam perjalanan ke pondok untuk sumbangan zakat

Tidak ada bos sebaik Allahyarham'