Melaka nafi perpindahan Safiq ke pasukan lain

Safiq Rahim
Safiq Rahim
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) menafikan terdapatnya perbincangan mengenai desas-desus perpindahan Safiq Rahim ke pasukan lain.

Setiausaha agungnya, Farhan Ibrahim berkata tiada sebarang rundingan atau perbincangan antara pihak persatuan dengan pasukan lain, yang dikatakan berminat menawarkan tempat, buat pemain tengah Melaka United itu.

Beliau berkata, pihak MUSA juga tidak bercadang meminjamkan bekas kapten skuad kebangsaan itu, kepada mana-mana pasukan biarpun terdapat 'khabar angin' mengenai perkara berkenaan.

"Pihak persatuan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu, dan saya mengesahkan Safiq akan terus bersama skuad Hang Tuah sepanjang musim ini.

"Beliau memainkan peranan besar dalam perjalanan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan, dan pastinya kemantapan pasukan akan terjejas tanpanya, terutama di barisan tengah, tambahan pula keserasiannya bersama rakan sepasukan kian menyerlah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Sebelum ini terdapat khabar angin mengenai Safiq, yang dikatakan bakal menyarung jersi Kedah pada jendela perpindahan liga musim ini.

Farhan berkata, setakat ini hanya empat pemain dipinjamkan kepada pasukan di Liga Super dan Liga Perdana, mereka termasuk R Gopinathan ke pasukan PDRM, Wan Shukri Wan Ahmad dan Anselmo Casagrande (Pulau Pinang), Nurshamil Abd Ghani (Selangor United) serta Darko Markovic (Kuala lumpur).

Dalam pada itu, Zainal berkata beberapa pemain baharu dijangka dibawa masuk, bagi memperkuatkan barisan Melaka United pada perpindahan kedua musim ini, dan perbincangan mengenainya sedang dimuktamadkan pihak pengurusan.

"Sememangnya akan ada sedikit perubahan, dan kita sedang berurusan, kita jangka minggu hadapan ada pemain baharu untuk beberapa posisi, selain kemasukan semula pemain import dari Serbia, Luka Milunovic ke dalam pasukan ini," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: