Desas-desus diboikot, calon PH DUN Paroi dakwa kempen lancar

Norwani beramah mesra bersama penduduk setempat ketika sesi jelajah mesra di Paroi, Seremban pada Isnin. Gambar kecil: Norwani
Norwani beramah mesra bersama penduduk setempat ketika sesi jelajah mesra di Paroi, Seremban pada Isnin. Gambar kecil: Norwani
A
A
A

SEREMBAN - Kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Norwani Ahmat berjalan lancar meskipun terdapat desas-desus jentera akar umbi gabungan itu akan memboikotnya.

Malah sepanjang tiga hari berkempen, Norwani berkata, aktiviti turun padang bersama rakyat sekitar DUN berkenaan turut mendapat bantuan jentera sedia ada termasuk daripada Barisan Nasional (BN).

“Alhamdulillah, kempen saya dapat sokongan penuh daripada jentera PH dan BN, malah aktiviti jelajah mesra yang melibatkan calon PH dan BN akan dibuat serentak di satu tempat untuk kita tunjukkan kesepakatam, kesepaduan dua parti.

“Saya yakin suasana ini akan kekal sehingga hari pengundian nanti kerana kita dalam gabungan PH-BN akan fokus, kerja keras bersama ahli akar umbi bagi memastikan kemenangan dapat dikekalkan,” katanya ketika ditemui selepas jelajah mesra di sekitar Paroi pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Norwani mendapat tentangan daripada sekumpulan Ketua Cabang Parti Amanah Negara (Amanah) DUN berkenaan yang membantah pencalonan Ketua Wanita Amanah negeri itu di Paroi.

Malah mereka turut memberi isyarat tidak akan keluar mengundi susulan penyandang DUN, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani tidak dicalonkan semula walaupun sudah berkhidmat lebih tiga penggal di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Norwani optimis pengundi dan penyokong PH-BN akan memberi mandat kepadanya meneruskan perjuangan kerajaan sedia ada untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Sekarang fokus saya adalah mendepani apa yang mahu dibawa kepada rakyat, di samping meyakinkan mereka untuk keluar mengundi.

“Aktiviti turun padang sepanjang tempoh kempen ini akan digunakan sebaiknya untuk mendengar keluhan rakyat dan menawarkan khidmat kepada mereka,” ujarnya.

DUN Paroi menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Norwani Ahmat, Kamarol Ridzwan Mohd Zain (Perikatan Nasional) dan Muhammad Syakir Fitri Sadri (Bebas).

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!