Lebih 250,000 pelarian Rohingya terima kad pengenalan

Hampir 60,000 keluarga yang mendapatkan perlindungan di kem penempatan sementara di Cox’s Bazar sudah didaftarkan.
Hampir 60,000 keluarga yang mendapatkan perlindungan di kem penempatan sementara di Cox’s Bazar sudah didaftarkan.
A
A
A

GENEVA - Lebih 250,000 pelarian Rohingya didaftarkan di Bangladesh dan kebanyakannya telah mendapat kad pengenalan pertama yang bakal menjadi bukti hak mereka untuk kembali ke Myanmar pada masa depan.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Andrej Mahecic berkata, pendaftaran itu berfungsi sebagai alat penguatkuasaan undang-undang untuk membantu menangani sindiket pemerdagangan manusia.

“Proses yang bermula sejak Jun 2018 itu adalah mengenai perlindungan hak pelarian Rohingya yang boleh kembali ke kampung halaman mereka di Myanmar secara sukarela pada masa depan,” ujarnya ketika sidang media di Geneva semalam.

Kad pengenalan baharu yang diberikan kepada kesemua pelarian Rohingya berusia 12 tahun ke atas itu mempunyai maklumat penting termasuk nama, cap jari dan imbasan iris serta menyatakan Myanmar sebagai negara asal golongan tersebut.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 270,348 pelarian atau hampir 60,000 keluarga sudah didaftarkan dan kira-kira 4,000 pendaftaran baharu dibuat pada setiap hari.

Difahamkan, UNHCR berhasrat untuk menyelesaikan proses pendaftaran kesemua pelarian Rohingya di Cox’s Bazar itu menjelang November depan.

Kira-kira 740,000 pelarian Rohingya melarikan diri selepas gelombang keganasan baharu tercetus di Rakhine pada Ogos 2017. - Agensi

Artikel Berkaitan: