Polis serbu sarang penagih dadah

Seramai 21 lelaki termasuk warga emas berusia 63 tahun ditahan dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Felda Gedangsa.
A
A

HULU BERNAM - Sarang penagih dadah dalam ladang kelapa sawit di Felda Gedangsa dekat sini diserbu polis, petang kelmarin.

Serbuan Op Sarang itu dilakukan 17 anggota termasuk pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, seramai 21 lelaki termasuk seorang warga emas berusia 63 tahun ditahan dalam operasi selama empat jam.

Menurutnya, kesemua lelaki terbabit positif MOP dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak polis melakukan rampasan dadah jenis heroin seberat 2.1 gram dari salah seorang lelaki berusia 49 tahun mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala dadah jenis sama ditemukan pada dua lelaki berusia 39 dan 63 tahun dengan masing-masing memiliki seberat 0.2 gram dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama.

"Sementara seorang lagi yang ditahan merupakan individu dikehendaki polis di bawah Seksyen 6(2)(c) Akta Penagihan Dadah 1983 bersabit laporan polis pada 2001," katanya.

Bak Phai berkata, kesemua lelaki terbabit akan direman untuk siasatan lanjut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia