NUTP cadang kenaikan gaji tahunan insentif khas guru

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan pemberian insentif khas kepada guru yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (MA) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bentuk Hadiah Kenaikan Gaji (HKG) secara tahunan.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata pihaknya mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan agar guru yang mula berkhidmat menggunakan Ijazah Sarjana Muda dan kemudian menyambung dan tamat pengajian di peringkat MA diberi insentif dua kali HKG manakala PhD pula menerima empat kali HKG.

Beliau berkata pada masa ini guru yang baru tamat pengajian di peringkat MA atau PhD tidak menerima tambahan kenaikan gaji sama seperti guru mula berkhidmat menggunakan MA serta PhD dengan gaji permulaan lebih tinggi.

“Kita amat mengalu-alukan cadangan tersebut kerana NUTP telah memperjuangkan isu pemberian insentif kepada guru-guru yang asalnya tidak mempunyai MA dan PhD ini tetapi mereka melanjutkan pelajaran di peringkat tersebut semasa sedang berkhidmat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, media melaporkan Kementerian Pendidikan bercadang memberi insentif kepada guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat MA dan PhD.

Menterinya Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata kementerian itu akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan itu.

Sementara itu, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Jasni Md Kechik menyarankan pemberian insentif itu diberikan kepada semua guru sama ada mereka yang baru memulakan perkhidmatan berkelulusan MA dan PhD atau guru berpengalaman sedia ada tetapi baru menamatkan pengajian di peringkat itu.

“Kita nak semua guru yang ada MA atau PhD tidak kira sudah dekat nak pencen atau tidak, dapat insentif tersebut. Semua kena beri kerana ini insentif, hadiah. Bila hadiah, mereka nak galakkan guru sambung belajar. Harus diberi insentif jika mereka layak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jasni berkata pihaknya tidak meletakkan sebarang cadangan bentuk pemberian insentif itu sama ada berbentuk kenaikan tahunan ataupun ‘one-off’ selepas habis belajar, namun ia sudah tentu hadiah terbaik buat golongan guru.- Bernama