Bau asap selamatkan dari rentung

A
A
A

SITIAWAN - Bau asap menyelamatkan empat beranak daripada rentung selepas rumah yang disewa mereka di Jalan Sam Hup Huat, Pantai Remis, terbakar sekitar jam 1.30 pagi tadi.

Kebakaran merebak hingga membakar dua buah rumah bersebelahan, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, PBK I, Alwi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.52 pagi memaklumkan terdapat kebakaran rumah.

"Setibanya anggota di lokasi, tiga buah rumah teres kelas A terbakar dan tindakan segera diambil untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak.

"Anggaran peratus kebakaran setiap rumah adalah 70 peratus bagi rumah pertama, 50 peratus rumah kedua dan 30 peratus bagi rumah ketiga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurut Alwi, kebakaran dikawal dan dipadamkan menggunakan dua aliran satu cabang dengan pembahagi tiga pancutan dari pili bomba berdekatan.

"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat jam 3.18 pagi," katanya.

Dalam pada itu, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Alwi turut memaklumkan dua daripada rumah yang terbakar didiami penyewa namun sebuah lagi belum dapat dikenalpasti kerana waktu kejadian, ia kosong.