Ops Bersepadu: Imigresen Perak tahan 30 GRO, pekerja kilang

Pegawai Imigresen memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan di hostel kilang di Taman Pinji Mewah awal pagi tadi.
Pegawai Imigresen memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan di hostel kilang di Taman Pinji Mewah awal pagi tadi.
A
A
A

IPOH - Seramai 17 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan selepas Jabatan Imigresen Perak menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Mustafa Al-Bakri di sini malam tadi.

Serbuan pada jam 9 malam yang dijalankan 24 pegawai Imigresen itu turut menahan dua lelaki tempatan yang merupakan majikan dan pekerja yang melindungi GRO warga asing di premis terbabit.

Pengarah Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail berkata, kesemua wanita warga Vietnam berusia 18 hingga 38 tahun itu ditahan menerusi Ops Bersepadu yang dijalankan.

17 GRO ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tinggal melebihi tempoh sah yang ditetapkan.
17 GRO ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tinggal melebihi tempoh sah yang ditetapkan.

Menurutnya, Imigresen Perak turut mengesan keraguan cop lawatan sosial palsu pada dokumen perjalanan milik tiga wanita ketika pemeriksaan dilakukan.

"Ketika serbuan, wanita yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu bertindak melarikan diri dengan bersembunyi di bawah meja dan ruangan dalam sofa namun, kesemuanya berjaya ditahan.

"Pemeriksaan mendapati mereka telah tinggal melebihi masa dan menyalahgunakan pasport. Kita juga percaya ada sindiket yang mendalangi cop palsu pada pasport itu dan kesemuanya dibawa ke pejabat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rumah kedai dua tingkat di Taman Pinji Mewah telah dijadikan hostel bagi pekerja-pekerja kilang warga asing.
Rumah kedai dua tingkat di Taman Pinji Mewah telah dijadikan hostel bagi pekerja-pekerja kilang warga asing.

Sementara itu, dalam satu operasi berbeza, Imigresen Perak turut melakukan pemeriksaan beberapa hostel kilang milik warga asing selepas menerima aduan penduduk yang bimbang dengan keselamatan dan masalah sosial di Taman Pinji Mewah di sini awal pagi tadi.

Kamaluddin berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu hostel kerana tidak mendapat kerjasama daripada penghuni dan memeriksa 105 warga asing.

"12 lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia telah ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan selain tinggal lebih masa di negara ini.

Pemeriksaan dilakukan di Taman Pinji Mewah selepas menerima aduan penduduk setempat.
Pemeriksaan dilakukan di Taman Pinji Mewah selepas menerima aduan penduduk setempat.

"Tujuan pemeriksaan ini dilakukan bagi memastikan mereka ini benar-benar pendatang asing dengan izin (PADI) dan bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) selain menjaga keselamatan penduduk setempat," katanya yang menamatkan operasi pada jam 2.30 pagi.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh sah dan Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana memiliki cop lawatan sosial palsu dalam pasport.