Mayat warga emas sudah tinggal rangka ditemui

Gambar mayat wanita berkenaan yang sudah menjadi rangka mula tular di laman sosial Facebook, semalam.Gambar kecil:Tey Kok Eng
Gambar mayat wanita berkenaan yang sudah menjadi rangka mula tular di laman sosial Facebook, semalam.Gambar kecil:Tey Kok Eng
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mayat seorang wanita yang sudah menjadi rangka ditemui di lantai sebuah rumah di Flat Larkin di sini Isnin lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais susulan penemuan rangka manusia itu menjadi tular di laman sosial, semalam.

“Polis telah menerima satu laporan mengenai penemuan rangka manusia di sebuah rumah di Blok C, Flat Larkin kira-kira jam 11.20 malam, Isnin lalu.

“Si mati dipercayai dikenali sebagai Tey Kok Eng yang berusia 73 tahun. Wanita ini juga dimaklumkan memang tinggal berseorangan di rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Shahurinain berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas mayat wanita terbabit bagaimanapun tidak menunjukkan berlakunya sebarang unsur jenayah.

“Semasa ditemui mayat si mati adalah dalam keadaan terbaring atas lantai bilik di rumah berkenaan dalam keadaan berselimut.

“Pegawai perubatan dari Hospital Sultan Aminah Johor Bahru yang tiba di lokasi kejadian turut mengesahkan si mati berkemungkinan telah meninggal dunia sejak dua atau tiga bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya kematian itu tidak disedari orang ramai dalam tempoh terdekat adalah kerana kedudukan rumah si mati yang berada di bahagian hujung serta tiada jiran di sekelilingnya.

Artikel Berkaitan:

“Sampel tulang serta rambut mayat ini telah di hantar ke Jabatan Kimia Johor Bahru untuk DNA Profilling manakala usaha mengesan waris mangsa sedang giat dijalankan,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).