'Cikgu gitar' masih aktif mengajar

Cikgu Sudin menunjukkan gitar buruk yang menjadi peneman dia mengajar.
Cikgu Sudin menunjukkan gitar buruk yang menjadi peneman dia mengajar.
A
A
A

PONTIAN - Menyanyi sambil belajar. Itu teknik yang digunakan seorang pesara guru dalam setiap sesi pengajarannya sejak 30 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan.

Samsudin Seri, 65, yang turut dikenali sebagai 'cikgu gitar' dalam kalangan bekas anak didiknya merupakan bekas guru Biologi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Betak, Benut di sini.

Menurutnya, penggunaan gitar sebagai alat bantuan mengajar benar-benar memberi impak positif kepada anak didiknya.

“Dah lama dah saya guna gitar kalau nak mengajar. Masa dulu, saya lihat pelajar suka menyanyi dalam kelas jadi daripada situ timbul idea untuk buat lagu formula sains dan matematik.

“Kalau menyanyi nak tarik perhatian pelajar lebih senang, dan mereka pun cepat nak faham dan hafal,” katanya.

Samsudin berkata, lagu pertama yang digubah ialah Hujan nyanyian Allahyarham Sudirman yang mana liriknya menjadi formula kitaran nitrogen.

“Bila lihat mereka cepat faham, saya gubah lagi pelbagai lagu dengan pengisian banyak formula sains dan matematik, malah turut libatkan subjek lain iaitu biologi dan matematik tambahan,” katanya.

Kini Cikgu Sudin mempunyai lebih 50 lagu formula dengan pelbagai lirik dan muzik yang digubah sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Saya dapat idea ubah lagu sebelum tidur. Saya akan periksa nota dan skema soalan dahulu, jadi sampai terbawa-bawa dalam tidur. Itu dapat idea buat lagu.

“Alhamdulillah teknik yang saya buat ni memperlihatkan kesan positif, ramai pelajar dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Dalam pada itu, sempena tanggal 16 Mei semalam, Samsudin turut tidak terkecuali dalam menerima ucapan penghargaan daripada bekas anak didiknya.

"Setiap tahun saya masih terima ucapan 'selamat hari guru' dan macam-macam lagi menerusi panggilan dan mesej.

"Saya betul-betul terharu, mereka ingat pada saya. Kalau tanya mana-mana guru sekali pun, tiada apa yang kami minta, ucapan seperti ini buat kami rasa benar-benar dihargai," katanya.

Masih aktif mengajar

Walaupun sudah bersara, Samsudin yang menetap di Kampung Parit Betak, Benut di sini, masih lagi berbakti mencurahkan ilmu kepada anak-anak kampung itu.

"Ramai ibu bapa di sini minta saya ajar anak mereka.

"Saya berat hati nak tolak, jadi saya adakan kelas tambahan di luar rumah saya. Saya masih terapkan teknik menyanyi sambil belajar," katanya.

Bekas guru Biologi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Betak ini berkata, selagi ada kudrat dan diberi kesihatan dia akan terus mengajar dan berkongsi ilmu kepada generasi muda.

"Saya juga mahu ubah persepsi pelajar-pelajar luar bandar yang menganggap subjek Sains dan Matematik ini susah.

“Ramai yang mengeluh cakap susah Sains dan Matematik. Sebenarnya tak susah mana kalau dapat memahami formula. Saya sedar masih ramai anak-anak kampung yang perlukan kelas tambahan subjek ini,” katanya.

Anak-anak ikut jejak langkah

Samsudin turut bersyukur kerana empat daripada enam orang anaknya mengikut jejak langkahnya bergelar seorang pendidik.

“Syukur, ada anak-anak yang menjadi guru. Anak sulung, Samsimon, 39 guru di Paya Jaras Selangor.

"Anak kedua pula, Saimsairee, 38, berkhidmat di Pontian dan adiknya Mas Ervina, 37, jadi pensyarah di UiTM Segamat. Manakala anak keempat Samsaizan, 35, guru di Puchong Selangor. Curah ilmu ni besar 'sahamnya' dunia akhirat, lega mereka ikut jejak langkah saya," katanya.