Cadangan tubuh MMC bukan untuk sekat media: Eddin

Cadangan menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media di negara ini. Foto: Bernama
Cadangan menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media di negara ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Cadangan menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media di negara ini.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata, ia bertujuan menyediakan garis panduan yang jelas kepada pengamal media.

"Di samping kita amalkan kebebasan media dan kita juga mengimbangi kestabilan politik dan juga kebaikan kepada rakyat.

"Ini supaya negara tidak terjejas dengan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab seperti penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan hubungan baik rakyat dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di bazar Ramadan di sini.

Sementara itu, diminta mengulas prestasi semua agensi di bawah kementerian sepanjang setahun di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Eddin Syazlee berkata setakat ini beliau berpuas hati.

"Walaupun ada beberapa kelemahan yang dikenalpasti, saya percaya dalam penghujung setahun, saya lihat kesungguhan dan keikhlasan semua agensi bawah Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk menterjemah hasrat kerajaan.

"Ini satu perkara yang positif walaupun kita menerima teguran, kita terima secara terbuka dan Insya-ALLAH saya yakin dalam tempoh terdekat ini kita akan cuba perbaiki dan masih ada ruang yang boleh diisi untui kita perbetulkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Eddin Syazlee turut menyertai kira-kira 200 jemaah Masjid Kariah Kampung Parit di sini dalam majlis berbuka puasa.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan kepada 20 penerima asnaf daripada sekitar kampung berkenaan pada majlis itu. - Bernama