Sindiket rokok seludup di KL tumpas

Sebahagian rokok seludup bernilai RM275,192 yang dirampas polis dalam serbuan di Jinjang, Kuala Lumpur, kelmarin.
Sebahagian rokok seludup bernilai RM275,192 yang dirampas polis dalam serbuan di Jinjang, Kuala Lumpur, kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket rokok seludup yang bergiat aktif di ibu negara tumpas dengan tertangkap dua lelaki serta rampasan rokok bernilai RM275,192 di Jinjang, di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan dijalankan Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas KDNKA Bukit Aman hasil maklumat awam.

"Operasi berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 59 tahun.

"Polis kemudian merampas 1,734 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggar bernilai RM275,192. Turut dirampas adalah sebuah kereta serta wang tunai RM4,400," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, siasatan percaya sindiket ini aktif di sekitar Kuala Lumpur.

"Kedua-dua suspek kini direman tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan: