Polis tahan sembilan individu 'acah-acah ‘gangster’

Kejadian pergaduhan itu yang sempat dirakam sebelum menjadi tular di media sosial hari ini
Kejadian pergaduhan itu yang sempat dirakam sebelum menjadi tular di media sosial hari ini
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan hingga mengakibatkan kerosakan harta benda di Medan Selera Jalan Trus, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, tangkapan dilakukan secara berasingan yang bermula dengan enam suspek sejurus kejadian berlaku.

Menurutnya, polis percaya punca utama kejadian adalah disebabkan perselisihan faham dan perasaan tidak puas hati berhubung kerja-kerja pengubahsuaian gerai di medan selera berkenaan.

“13 Mei lalu, jam lebih kurang 12.01 tengah malam telah berlaku perselisihan faham dan pergaduhan di Medan Selera Jalan Trus. Ekoran kejadian itu polis telah menahan enam lelaki berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun yang disyaki terlibat.

“Mereka adalah tiga pemilik kedai dan tiga wakil daripada pihak kontraktor. Kejadian kembali berlarutan apabila sejam selepas itu kira-kira 10 lagi individu datang menimbulkan rusuhan di lokasi itu kerana tidak berpuas hati tiga rakan mereka ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, enam lelaki kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, tiga lagi suspek dipercayai salah seorang daripada 10 individu yang membuat kekacauan itu berjaya ditahan hari ini.

“Hasil siasatan dan maklumat, kira-kira jam 1 pagi tadi, pihak kami telah berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 34 hingga 48 tahun di pekarangan Pasar Borong Pandan.

Artikel Berkaitan:

“Soal siasat dilakukan turut mendapati ketiga-tiga mereka mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan. Pihak polis juga masih dalam usaha mengesan dan menangkap suspek yang lain,” katanya.

Shahurinain berkata, tiga suspek yang baharu ditahan itu turut didapati mempunyai beberapa rekod jenayah namun bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Tiga suspek bersama beberapa lagi yang sedang dikesan ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan melakukan khianat.

“Suspek juga boleh disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.