Warga emas cedera dibelasah jiran guna rantai motosikal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara menegur jiran sekampung supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah, seorang lelaki warga emas cedera dibelasah menggunakan rantai motosikal dalam kejadian di Gong Badak, Kuala Nerus di sini kelmarin.

Akibat perbuatan itu, mangsa berusia 75 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan kanan sebelum dibawa menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Menurut sumber, kejadian menimpa mangsa hanya diketahui menantu perempuannya berusia 34 tahun selepas menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan mangsa ada di rumahnya kerana dipukul seorang lelaki dikenali kira-kira jam 7 petang.

"Wanita itu bergegas ke rumah jirannya yang terletak berhampiran rumah bapa mentuanya dan terkejut apabila melihat kecederaan di kepala dan lengan kanan serta kesan minyak hitam pada baju mangsa.

"Tanpa berlengah, mangsa terus dibawa mendapatkan rawatan di HSNZ dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Sumber berkata, suspek berusia 30-an dipercayai menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati dengan warga emas itu yang dikatakan pernah menegurnya supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Teguran itu membuatkan hubungan semakin renggang walaupun sebelum ini hubungan mereka baik memandangkan tinggal sekampung.

"Susulan kejadian itu, menantu mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya," katanya.