Wang pembebasan dibayar kepada rakyat Malaysia, kata saksi

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini diberitahu bahawa warga asing mendeposit wang ke akaun bank rakyat Malaysia sebagai syarat untuk membebaskan ahli keluarga masing-masing dari kem Wang Kelian dan kem tahanan di Thailand.

Saksi ke-33 RCI, Inspektor Mohd Suffian Abdul Rashid yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman berkata, dua rakyat Malaysia yang menerima wang dari warga asing dalam akaun masing-masing ialah Ku Hamid Ku Musa dan Arifin Abdullah Ali.

Menurutnya, siasatan mendapati seorang individu warga Myanmar mendeposit RM4,000 ke akaun Ku Hamid pada 2 Okt 2014 untuk membebaskan anak saudaranya dari kem Wang Kelian manakala RM5,800 dimasukkan ke akaun Arifin oleh seorang individu Rohingya bagi membebaskan bapa saudaranya yang ditahan di sebuah kem tahanan di Thailand.

Mohd Suffian berkata siasatan ke atas Ku Hamid, yang merupakan warganegara Malaysia yang dilahirkan di Myanmar dan bekerja sebagai buruh, mendapati terdapat lebih RM19,000 di dalam akaun banknya selain memiliki cek jurubank sebanyak RM21,000.

Menurutnya, Ku Hamid memberitahu dia menyerahkan kad ATM miliknya untuk digunakan oleh seorang warga Thailand bernama Kaw namun cubaan polis untuk mengesan Kaw tidak berjaya.

Mohd Suffian berkata wang dan harta termasuk kenderaaan milik Ku Hamid serta Arifin kemudiannya dilucuthak mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Wakil media dan orang awam hanya berpeluang mendengar prosiding RCI selama kira-kira 40 minit sahaja hari ini iaitu ketika Mohd Suffian memberikan keterangan.

Selepas Mohd Suffian menamatkan keterangannya, RCI dijalankan secara tertutup dari jam 10.40 pagi hingga tamat pada 1.15 petang kerana keterangan yang diberikan saksi adalah maklumat sulit dan sensitif.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan tiga saksi memberikan keterangan secara tertutup iaitu dua orang awam dan seorang lagi ialah saksi pertama RCI yang dipanggil semula iaitu Koperal Mat Ten yang bertugas di Batalion Tiga, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bedong, Kedah.

Sebanyak 35 saksi sudah memberikan keterangan di hadapan RCI sepanjang 11 hari prosiding setakat ini.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri hari ini, RCI akan bersambung pada 27 Mei. - Bernama