Tiada rakyat Malaysia terlibat gempa bumi di Afghanistan

Keadaan rumah yang rosak di daerah Zinda Jan yang dilanda gempa bumi di Herat, Afghanistan. - Foto EPA
Keadaan rumah yang rosak di daerah Zinda Jan yang dilanda gempa bumi di Herat, Afghanistan. - Foto EPA
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan mengalami kecederaan atau menerima kesan secara langsung akibat kejadian gempa bumi yang melanda wilayah Herat di Afghanistan pada 7 Oktober.

Perkara itu disahkan Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Kerajaan Malaysia turut mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada kerajaan serta rakyat Afghanistan yang terjejas, susulan gempa bumi yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan ribuan lagi cedera, serta kemusnahan harta benda dan infrastruktur awam.

"Rakyat Malaysia menzahirkan solidariti kepada rakyat Afghanistan pada waktu yang sukar ini. Ingatan dan doa ikhlas rakyat Malaysia adalah bersama-sama, khususnya kepada mereka yang terkesan dengan bencana ini,” menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, urusan konsular yang melibatkan rakyat Malaysia di Afghanistan dikendalikan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di 50-M, Satya Marg Chanakyapuri New Delhi 110021, atau melalui nombor telefon: +91-11-2415 9300 +91-85955 50594, faks: +91-11-2688 1538 ataupun e-mail: mwdelhi@kln.gov.my.

Lebih 11,000 mangsa terjejas, manakala 2,500 dilaporkan maut akibat beberapa siri gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Sabtu. - Bernama

Artikel Berkaitan: